Sabtu, 10 Jun 2017 | 1:33pm

Nurmazilah mahu MIA berkembang, lebih relevan


KETUA Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahzan. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Pengalaman luas dalam bidang perakaunan, menjadi 'batu loncatan' kepada Dr Nurmazilah Mahzan meneruskan legasi sebagai wanita kedua menerajui Institut Akauntan Malaysia (MIA). 

      Beliau yang berusia 47 tahun, dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan berkanun berkenaan sejak 2 Julai tahun lalu.

Pengalaman korporat Nurmazilah merangkumi pelbagai bidang, termasuk pembangunan hartanah dan pembinaan, pembankan, unit amanah, perdagangan serta pembuatan.

   Sebagai tunggak MIA, beliau memegang amanah dan tanggung jawab besar untuk mengembangkan institusi berkenaan.

Namun, Nurmazilah percaya keupayaannya, untuk terus memperkasakan profesion dalam bidang perakaunan atau lebih dikenali sebagai akauntan bertauliah dalam memperkukuhkan nilai pelaporan kewangan.

   Bagi beliau, akauntan adalah tulang belakang bagi setiap organisasi perniagaan di seluruh dunia yang menguruskan sistem perakaunan dan kewangan serta bertindak sebagai pemberi maklumat sebelum keputusan di peringkat pengurusan tertinggi dimuktamadkan.

Sasar 60,000 akauntan

Justeru, Nurmazilah juga bertekad, menarik lebih ramai anak muda tempatan terutama Bumiputera memilih profesion perakaunan. Ini kerana Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) menyasarkan negara ini mempunyai 60,000 akauntan, selaras hasrat mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.

   "Setakat ini negara hanya mempunyai 33,000 akauntan berdaftar dengan 54 peratus daripadanya adalah wanita dan selebihnya adalah lelaki.

"Ini sejajar matlamat penubuhan MIA yang bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada 30 September ini bertemakan integriti, tanggungjawab dan amanah yang menjadi teras utama dalam asas kerjaya akauntan," katanya ketika temubual BH di pejabatnya di sini.

      Sebelum bersama MIA, Nurmazilah adalah Pengarah Siswazah Fakulti Perniagaan Universiti Malaya.

Beliau memulakan kerjayanya dengan Arthur Andersen dalam 1993 sebelum menyertai KUB Malaysia Bhd sebagai Pengurus Akaun Kumpulan.


DR Nurmazilah (tengah) bersama kakitangannya di Bangsar South, baru-baru ini. - Foto Owee Ah Chun

Hala tuju organisasi

Mengakui kepimpinan penting dalam mencorakkan hala tuju organisasi, beliau senang mengambil pendekatan kepimpinan wanita feminin, iaitu menonjolkan sikap memujuk berbanding hanya mengarah.

   "Dari kecil saya gemar mengikuti arwah bapa yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumpa dan membantu masyarakat, sejak dari itu menyemarakkan keinginan membantu orang ramai mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

    "Justeru, apabila menjadi pemimpin, saya tidak mahu mewujudkan jurang dengan sikap garang atau menggunakan kuasa veto. Setiap kakitangan ada tanggungjawab, jika mereka tidak diberikan motivasi, prestasi kerja merosot," katanya.

     Katanya, prinsip kepimpinan wanita lebih diplomasi, berikutan sikap semula jadi mereka gemar bercakap, menerangkan, berkongsi idea dan mengusulkan perbincangan apabila berdepan masalah. 

Pengitirafan membanggakan

Bagi Nurmazilah, peluang mengetuai MIA, dilihat sebagai pengiktirafan yang membanggakan kerana institusi itu ditugaskan untuk mengawal selia, membangun dan menyokong kerjaya akauntan di negara ini.

      "Bidang perakaunan ini versatil kerana menjanjikan peningkatan kerjaya, cabang luas, fleksibel dan menjadi pilihan kepada wanita yang meminati analisis kewangan berbanding sektor kejuruteraan dan teknikal didominasi lelaki.

      "Misalnya, bermula dengan eksekutif kewangan, seseorang akauntan boleh mengendalikan bahagian operasi, mengetahui selok belok dan membuka firma sendiri. Kerjaya ini menjanjikan skop luas menerusi kemahiran dan ilmu pengetahuan profesional malah suasana kerja fleksibel menarik ribuan wanita menceburinya," katanya.

      Beliau berkata, akauntan wanita akan terus bertambah berikutan mereka boleh memilih masa fleksibel, bekerja dari rumah tetapi masa sama memberi keutamaan pada keluarga.  

  "Misalnya sekarang ramai ibu bapa menggalakkan anak mereka memilih profesion ini kerana fitrah kerja yang banyak dipengaruhi teknologi, berkemungkinan boleh bekerja dari rumah kecuali masa tertentu perlu jumpa klien, dilakukan secara individu dan sambilan," katanya.


DR Nurmazilah dilantik CEO Institut Akauntan Malaysia (MIA) sejak 2 Julai tahun lalu. - Foto Owee Ah Chun

Tingkatkan keahlian akauntan

Pendekatan MIA adalah menarik penyertaan lebih ramai akauntan bertauliah untuk memiliki kelayakan profesional antaranya Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

"Kelayakan profesional memerlukan seseorang akauntan menduduki peperiksaan bagi melayakkan mereka menjadi ketua pegawai kewangan dan pengarah juruaudit, usahawan, penasihat perniagaan dan pelbagai jawatan berkaitan," katanya sambil memberitahu kelayakan berkenaan memberikan keahlian automatik dalam MIA.

Selain itu MIA komited meningkatkan keahlian akauntan Bumiputera yang kini berjumlah 30 peratus daripada 33,000 akauntan yang berdaftar.

Seterusnya, dari jumlah akauntan yang mempunyai kelayakan badan ikhtisas perakaunan yang diiktiraf berdasarkan Akta Akauntan 1967, hanya lapan peratus akauntan Bumiputera.

MIA juga bermatlamat untuk meminda Akta Akauntan, 1967 supaya menjadi lebih relevan dengan persekitaran perakaunan semasa.

INFO
Dr Nurmazilah Mahzan 

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Akauntan Malaysia (MIA) 

Asal: Rembau, Negeri Sembilan

Tarikh lahir: 28 September 1970

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Islam Antarabangsa  (UIA); Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perakaunan Universiti of Birmingham, United Kingdom.

Pencapaian : Certified Risk Management and Assurance, Institut Audit Dalaman, Amerika Syarikat; Certified Internal Auditor, Institut Audit Dalaman, Amerika Syarikat; Certified Public Accountant (Malaysia)

Keahlian Profesional:

* Malaysian Institute of Certified Public Accountant (MICPA)

* Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)

* Institute of Internal Auditors Charter Member (CMIIA)

Berita Harian X