Jumaat, 9 Jun 2017 | 5:32pm

'Saya akan tulis surat pada FGV'

PENGERUSI Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBCC), Tan Sri Shahrir Abd Samad.- Foto Zulaikha Zainuzman

JOHOR BAHRU: Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad akan menulis surat dengan cadangan tiga nama yang diputuskan bagi dilantik sebagai wakil FELDA dalam Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Beliau berkata, surat susulan berkenaan akan dihantar kepada Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad, Isnin ini bagi mendapatkan jawapan selepas permintaan sebelum ini masih tidak berjawab.

"Pada 23 Mei lalu, mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA memutuskan dan melantik tiga nama bagi mewakili FELDA di Lembaga Pengarah FGV iaitu dua orang daripada pengurusan dan seorang lagi dari Lembaga Pengarah FELDA.

"Pada 26 Mei, satu surat (memutuskan bagi melantik tiga wakil dalam FGV) dikeluarkan urus setia Lembaga Pengarah FELDA dan dihantar kepada setiausaha syarikat.

"Namun sehingga kini, tiada jawapan daripada FGV, jadi saya sendiri akan menulis surat dan hantar kepada Pengerusi FGV, Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Dewan Serbaguna Majidee di sini, hari ini.

Shahrir turut menggesa tindakan drastik diambil bagi menstabilkan semula FGV dan seterusnya mengembalikan keyakinan masyarakat dan pelabur.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) melihat serius perkara ini dan tindakan melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah adalah langkah bagus.

"Kemelut FGV perlu betul-betul diselesaikan, bukan soal siapa menang kerana jika kemelut FGV tidak selesai, FELDA juga akan terkesan dan pembayaran dividen kepada peneroka juga boleh terkesan.

"Tiada kemelut tidak boleh diselesaikan dan saya yakin ia boleh kembalikan keyakinan masyarakat terhadap FGV," katanya.

Krisis FGV menjadi semakin meruncing apabila empat pengurusan kanan syarikat itu dan anak syarikatnya termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti, Selasa lalu.

Tiga lagi adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Berita Harian X