Khamis, 8 Jun 2017 | 8:46pm

Sultan Nazrin rasmi SMTDR Manjung


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kiri) berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Manjung, Teluk Gedong, Pulau Pangkor. Turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah). - Foto L.Manimaran[FOTO /BH]

PANGKOR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Manjung yang terletak di Teluk Gedong di sini.

Sekolah dibina dengan kos sebanyak RM10 juta itu adalah SMTDR yang pertama di negeri ini dan siap sepenuhnya tahun lalu dan mampu menampung seramai kira-kira 150 pelajar.

SMTDR Manjung, Pangkor adalah antara lima SMTDR seluruh negeri yang bertaraf asrama penuh dan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Selain SMTDR Manjung empat lagi SMTDR yang sedang beroperasi dan dalam pembinaan adalah SMTDR Kerian, SMTDR Batang Padang, SMTDR Kuala Kangsar dan SMTDR Lenggong.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Hussin.

Selepas merasmikan SMTDR Manjung, Sultan Nazrin kemudian berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Al Badr Seribu Selawat atau Masjid Terapung yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah berkenaan.

Masjid yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM11.6 juta itu siap sepenuhnya pada 12 Oktober 2016.

Sultan Nazrin kemudian berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama dan kemudian menunaikan solat Maghrib diikuti solat Isyak dan tarawih di masjid berkenaan.

31 dibaca
Berita Harian X