Rabu, 7 Jun 2017 | 9:52pm

KPDNKK bertemu syarikat minyak dalam masa terdekat


HAMZAH menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak dari Yayasan Kebajikan Baitul Makmur ketika Majlis Iftar Ramadan KPDNKK 2017, turut kelihatan Datin Seri Norashikin Abdul Ghani (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menemui syarikat minyak dalam masa terdekat bagi mendapat maklum balas impak perniagaan selepas pengenalan sistem penetapan harga petrol secara mingguan sejak 30 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata syarikat minyak terbabit berasa mengalami kerugian berikutan penurunan harga petrol.

"Kita tidak mendapat aduan daripada rakyat, namun syarikat minyak berasa mengalami kerugian kerana bila harga minyak turun, stok simpanan perlu dijual bersandarkan harga minggu sebelumnya.

"Perkara ini akan dibincangkan dalam pertemuan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa KPDNKK di sini, malam ini.

Beliau berkata, perkara ini sudah dibincang antaranya dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan pihaknya yakin ada strategi boleh dilaksanakan bagi membantu pengedar serta syarikat minyak.

Berita Harian X