Rabu, 7 Jun 2017 | 8:00pm

Salleh sahkan Ismee bakal dilantik pengerusi Media Prima


TAN Sri Ismee Ismail akan dilantik sebagai pengerusi baharu Media Prima Bhd. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, mengesahkan Tan Sri Ismee Ismail akan dilantik sebagai pengerusi baharu Media Prima Bhd.

Salleh yang juga Bendahari UMNO, berkata demikian kepada BERNAMA ketika diminta mengulas spekulasi mengenai perubahan yang akan berlaku dalam pucuk pimpinan Media Prima berikutan pelantikan Ismee baru-baru ini sebagai ahli lembaga bebas syarikat itu, kumpulan media terbesar di Malaysia.

Ismee akan menggantikan Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor yang dilantik sebagai pengerusi pada 1 September 2015.

Media Prima adalah sebuah kumpulan pelaburan media bersepadu terkemuka yang mempunyai kepentingan ekuiti di stesen televisyen, akhbar, stesen radio, penciptaan kandungan dan media digital.

Syarikat itu mempunyai kepentingan dalam stesen televisyen termasuk TV3, 8TV, ntv7 dan TV9.

Media Prima memiliki 98 peratus kepentingan ekuiti dalam The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), yang menerbitkan New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. - BERNAMA

Berita Harian X