Rabu, 7 Jun 2017 | 6:10pm

Ezlynn akui rumah tangga bergolak 3 tahun


PENYANYI, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezlynn mendedahkan pergolakan rumah tangganya bermula sejak tiga tahun tetapi dipertahankan atas saranan mahkamah syariah yang memintanya menjalani kaunseling.

Begitupun, selepas tempoh itu hubungan Ezlynn atau nama penuhnya, Azline Ariffin, 35, bersama suami, Adam Fahmy, tidak dapat diselamatkan susulan tiada persefahaman.

"Kemelut rumah tangga kami bermula sejak tiga tahun lalu dan akhirnya saya terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah selepas tidak nampak jalan penyelesaian. Kini kami mengikut saranan pihak mahkamah menjalani sesi kaunseling.

"Saya mengunci mulut kerana menganggap ia kisah peribadi bersama suami yang tidak harus diceritakan kepada umum. Masih panjang sebenarnya proses ini untuk dibicarakan di mahkamah.

"Sejujurnya memang tiada komunikasi antara kami tetapi itu tidak bermakna kami bermasam muka. Lebih baik begini," katanya kepada BH Online.

Ezlynn memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga 21 November 2011 namun belum dikurniakan cahaya mata.

Mengulas kerjaya seni yang sebelum ini diuruskan Adam, pelantun lagu Hi Hi Bye Bye itu baharu saja menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada syarikat pengurusan Indigital Muzik Sdn Bhd.

"Adam ada banyak urusan yang perlu diselesaikan, jadi rasanya lebih baik saya mendapatkan khidmat pihak lain untuk mengendalikan kerjaya seni saya.

"Buat masa ini belum ada perjanjian hitam putih bersama pihak Indigital sebaliknya kami bekerjasama bersandarkan projek," kata Ezlynn.

Berita Harian X