Rabu, 7 Jun 2017 | 5:44pm

Sivarasa akui kesilapan, mohon maaf


R Sivarasa

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa mengakui beliau mengingkari titah arahan Sultan Selangor, untuk tidak berceramah dalam masjid dan surau di negeri itu.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, selepas meneliti titah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada perasmian Masjid An Nur Temasya di Glenmarie, Jumaat lalu, beliau mendapati dirinya mengingkari arahan baginda dengan membuat ucapan ringkas dalam masjid di Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu.

"Saya telah meneliti titah Tuanku yang diberi pada Jumaat, 2 Jun 2017 di Masjid An Nur Temasya Glenmarie apabila Tuanku menjelaskan arahan dan peringatan baginda bahawa mana-mana ahli politik baik beragama Islam mahupun bukan Islam tidak boleh memberi apa-apa ceramah atau ucapan di dalam masjid atau di kawasan masjid.

"Jelas saya mengingkari arahan ini dengan ucapan ringkas saya di dalam Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang," katanya.

Sivarasa berkata, beliau sudah menyerahkan sepucuk surat peribadi kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku pada majlis penyampaian sumbangan di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, 24 Mei lalu.

"Dalam surat itu, saya menjelaskan kepada Tuanku ucapan ringkas saya bukan satu ceramah atau ucapan politik. Saya telah memohon maaf kepada Tuanku di atas kesilapan saya ini," katanya.

Pada 3 Jun lalu, BH melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan tindakan Sivarasa yang berucap dalam Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang, 24 Mei lalu, sebagai sudah melampaui batas.

"You have crossed the line!" demikian titah Sultan Selangor terhadap wakil rakyat PKR itu pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie, di sini.

Berita Harian X