Rabu, 7 Jun 2017 | 3:43pm

Bayaran khas RM500 kepada kakitangan awam Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan Bayaran Khas Kewangan 2017 sebanyak RM500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri sempena sambutan Aidilfitri, akhir bulan ini.


Musa Aman

Pembayaran itu yang akan dibuat serentak dengan bayaran gaji bulan ini pada 16 Jun, diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, bayaran khas itu bertujuan meringankan beban dan kos sara hidup penjawat Perkhidmatan Awam Negeri bagi membuat persediaan Aidilfitri.

"Sejajar dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk memberi Bayaran Khas Kewangan 2017 sebanyak RM500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri Sabah.

"Bayaran khas ini juga adalah sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan dan dedikasi penjawat awam negeri dalam melaksanakan tugas mereka demi kesejahteraan negeri ini," katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata bayaran khas itu memberi manfaat kepada seramai 17,480 kakitangan awam di seluruh Sabah dengan peruntukan sebanyak RM8.74 juta.

Sebelum ini, kerajaan Pusat mengumumkan pembayaran bantuan khas RM500 kepada kakitangan awam Persekutuan.

54 dibaca
Berita Harian X