Selasa, 6 Jun 2017 | 8:56pm

CIMB, China Galaxy Securities bentuk pakatan strategik

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd dan China Galaxy Securities Co Ltd memeterai perjanjian pembelian saham untuk memuktamadkan pakatan strategik kedua-dua syarikat dalam perniagaan pembrokeran saham CIMB.

Perjanjian dimeterai antara anak syarikat milik penuh masing-masing iaitu CIMB Group Sdn Bhd dan China Galaxy International Financial Holdings Limited (CGI).

Kerjasama akan menyaksikan CIMB, antara bank utama ASEAN dan China Galaxy Securities Group, antara syarikat sekuriti terbesar China, menjadi pemegang saham 50:50 dalam CIMB Securities International Pte Ltd (CSI).

CIMB Securities International Pte adalah syarikat pegangan bekas perniagaan pembrokeran saham Malaysia CIMB.

Ia merangkumi pembrokeran institusi dan runcit, penyelidikan saham dan perniagaan sekuriti berkaitan di Indonesia, Singapura, Thailand, Korea Selatan, India, United Kingdom serta Amerika Syarikat (AS).

Perjanjian menyaksikan CIMB akan menerima tawaran bernilai S$167 juta (RM515 juta) daripada CGI untuk mendapatkan 50 peratus pegangan dalam CSI berdasarkan gandaan 1.3 kali nilai aset bersih tergabung CSI S$256.9 juta setakat 31 Disember 2015.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata perjanjian adalah peristiwa serta urus niaga penting bagi CIMB dan China Galaxy Securities Group kerana ia menandakan paradigma baharu bagi perniagaan pembrokeran saham.

Katanya, perniagaan pembrokeran saham CIMB akan berkuat kuasa menjadi sebuah broker sepenuhnya dengan asas pelanggan bank ASEAN yang menyeluruh.

"Kami akan terus menawarkan barisan penuh perkhidmatan perbankan pelaburan dan pasaran modal kepada pelanggan, disokong oleh platform edaran saham.

"Kerjasama dengan China Galaxy Securities Group adalah padanan sesuai dan tidak sabar untuk merealisasikan sinergi hebat kerjasama ini, yang juga menepati pengembangan masa depan pakatan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kerjasama kedua-dua pihak juga menandakan pencapaian penting bukan hanya dari segi hubungan syarikat, malah agenda negara.

Berita Harian X