Selasa, 6 Jun 2017 | 6:10pm

Bantuan tambahan untuk pelajar tahfiz - MAIK


NIK Mohd Azlan (tiga dari kiri) menerima replika cek wang zakat daripada Azman (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan TM Berhad di Pejabat MAIK, Kompleks Islam, Lundang, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sedia memberi bantuan tambahan kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang cedera dalam kemalangan mengorbankan tujuh orang pada Jumaat lalu.

Timbalan Yang Dipertua, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata sebelum ini, pihaknya menyumbangkan RM1,000 kepada ibu bapa pelajar yang meninggal dan RM500 kepada mereka yang tercedera.

"Sekiranya ada pelajar masih mendapatkan rawatan dan memerlukan sebarang bantuan, mereka boleh berhubung pihak kami.

"MAIK akan meneliti perkara ini dari semasa ke semasa untuk dipertimbangkan," katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Telekom Malaysia (TM) Bhd di Pejabat MAIK, di sini, hari ini.

Terdahulu, MAIK menerima cek zakat perniagaan TM Bhd berjumlah RM225,141 melalui Pengurus Besar TM Bhd Cawangan Kelantan, Azman Yusof.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohd Azlan berkata, hingga semalam, MAIK memungut zakat berjumlah RM64 juta berbanding RM55 juta pada tahun lalu.

Berita Harian X