Selasa, 6 Jun 2017 | 3:30pm

6 syarikat serah zakat perniagaan RM10.26j

SULTAN Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tiga, kanan) menerima zakat perniagaan daripada Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail (tiga, kiri) berjumlah RM2,445,346,00 di Istana Anak Bukit hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Bakar Din (kanan).- Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah hari ini berkenan menerima zakat perniagaan daripada lapan syarikat korporat berjumlah RM10.26 juta.

Ia adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) (RM2.918 juta); PLUS Berhad (RM2.445 juta); Bank Rakyat (RM1.421); Bina Darul Aman Berhad (BDB)(RM1.273 juta); Gula Padang Terap (RM1 juta); Maybank Islamic (RM737,594); Celcom Berhad (RM118,383) dan Koperasi KCS (RM350,000).

Zakat berkenaan diterima Sultan Kedah yang juga penaung Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada satu majlis khas di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Pengerusi LZNK, Datuk Bakar Din, berkata sehingga 31 Mei lalu, pihaknya mengutip zakat sebanyak RM52.8 juta manakala agihan zakat pada tarikh yang sama berjumlah RM81.2 juta.

"Saya nampak ada penambahan zakat yang dikutip, namun kurang memberangsangkan mungkin maklumat tidak sampai dan ada syarikat yang beroperasi di Kedah mengagihkan zakat di tempat lain.

"Kita akan berhubung dengan syarikat terbabit bagi memaklumkan kelebihan dan peluang yang boleh diperolehi," katanya.

Dalam pada itu LZNK mencatatkan pengagihan zakat pada tahun lalu (2016) sebanyak RM162.67 juta kepada golongan asnaf iaitu orang fakir, miskin, amil dan mualaf.

Berita Harian X