Selasa, 6 Jun 2017 | 2:08pm

Mohd Khalil bakal terima PhD Oktober ini


YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. - Foto fail NSTP/Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sejarah daripada Universiti Islam Melaka (UIM) yang dijadualkan Oktober depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata penganugerahan itu sekali gus menjadikan Mohd Khalil sebagai penerima pertama PhD selepas Kolej Universiti Islam Melaka (KUM) di Kuala Sungai Baru, di sini, dinaik taraf kepada UIM.

"Kita berbangga apabila KUIM kini bakal bergelar universiti Islam swasta pertama di negara tidak lama lagi dan ia membuktikan pencapaian kolej universiti Islam itu semakin baik.

"Kerajaan negeri berharap usaha menaik taraf berkenaan akan berjaya, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka ke-13 di Seri Negeri, hari ini.

Idris berkata, KUIM melahirkan 7,950 graduan dalam pelbagai bidang disiplin dengan kakitangan 326 orang termasuk 187 pensyarah.

Berita Harian X