Selasa, 6 Jun 2017 | 8:09am

Gejala buli perlu diatasi ke akar umbi


KES terbaru membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman

GEJALA buli, gengsterisme dan masalah disiplin yang serius dalam kalangan pelajar di negara kita bukanlah perkara asing. Ini berdasarkan laporan media beberapa kes buli, baru-baru ini membabitkan sebilangan pelajar di beberapa sekolah asrama penuh. Kes sebegini juga tidak terhad berlaku di sekolah asrama penuh, malah sekolah harian juga tidak kurang 'popular' gejala buli dan gangsterisme.

Mungkin sesetengah kita berasakan kes yang dilaporkan ini agak terpencil berbanding jumlah ratusan ribu pelajar, namun pada hemat penulis, ini satu bentuk 'penyakit' sosial yang sangat wajar dirawat dengan tuntas.

Namun, gejala ini juga tidak terhad dalam kalangan pelajar sekolah. Berita terbaru yang mengejutkan semua pihak ialah kematian seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai didera. Kes terbaru ini sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi yang dipertanggungjawab melahirkan individu berilmu, berakhlak serta berketrampilan tinggi.

Kita sedar pelbagai bentuk penyakit sosial telah dan sedang berlaku dalam mana-mana masyarakat sama ada di negara maju mahupun membangun. Penyakit sosial masyarakat ialah suatu bentuk perilaku atau tindakan mahupun akhlak yang tidak sesuai dengan nilai-nilai dan norma yang berlaku dalam masyarakat.

Sifat pelaku itu sangat bertentangan dengan nilai dan tuntutan sesuatu agama, termasuk Islam. Ia menyimpang dan boleh merosakkan keharmonian serta kehidupan ahli masyarakat yang berasaskan suatu nilai murni. Antara penyakit sosial, termasuk ketagihan merokok, vape, minuman keras, penyalahgunaan dadah dan ubat-ubat perangsang, berjudi, pergaulan bebas dan seks bebas, gengsterisme, buli, penderaan serta keganasan domestik, dan segala bentuk gejala bersifat jenayah.

Buli pula bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ia dilakukan secara paksaan oleh individu atau berkumpulan. Pembuli sering menjadikan mereka yang lemah agar mematuhi atau menghormati mereka yang kuat.

Buli juga bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk psikologikal, perkataan kasar atau fizikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa. Kesemua tindakan buli dengan tujuan mendatangkan perasaan tidak tenteram atau tidak selamat hingga menyebabkan mangsa tertekan secara mental dan fizikal.

Hilang nilai murni kehidupan

Dalam kes kematian pelajar kadet laut tahun tiga, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, dan mangsa didakwa didera secara fizikal dengan kesan melecur apabila seterika ditekap pada bahagian dada, kaki dan tangan. Jika tanda-tanda kecederaan fizikal ini dikenal pasti sebagai punca kematian oleh pihak pakar forensik, maka gejala buli ini pada tahap sangat serius. Lebih-lebih lagi kes ini berlaku dalam kalangan pelajar universiti.

Di manakah nilai-nilai kemanusiaan serta norma kehidupan sebagai pelajar universiti yang seharusnya menjadi rujukan masyarakat di luar sana? Adakah generasi pelajar hari ini sudah hilang jati diri mereka sebagai bakal mewarisi kepemimpinan dan masyarakat? Universiti sebagai gedung ilmu tercemar dengan kes yang sangat trajis dan memalukan ini.

Walaupun hanya satu kes dilaporkan, sewajarnya tidak harus berlaku sama sekali. Tidak pernah terlintas di fikiran penulis dan manusia yang normal apabila seorang anak dihantar ke universiti untuk menimba ilmu, akhirnya dihantar pulang ke rumah ibu bapa untuk dikebumikan. Kes penderaan fizikal ini sangat keterlaluan. Ini satu bentuk penyakit sosial yang perlu dirawat secepat mungkin supaya setiap individu tidak melihat kes ini sebagai 'budaya' baharu.

Tindakan dan peranan semua pihak

Antara punca kes buli dan penderaan fizikal ialah bila individu itu hilang hala tuju dan nilai jatidiri serta pegangan agama dalam kehidupan mereka. Mereka kurang memikirkan tujuan sebenar penciptaan. Sebagai seorang Muslim, tujuan penciptaan ialah untuk menjadi hamba Allah SWT serta menyembah-Nya dan menjadi Muslim yang bermanfaat kepada setiap individu lain di muka bumi ini.

Kita wajar dan bertanggungjawab menjaga diri, nafsu, akal, nasab, harta dan nyawa untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan setiap individu dalam masyarakat. Ini sangat dititikberatkan oleh syariat Islam. Syariat Islam juga melarang kita menyumbang kepada kerosakan, kehancuran dan juga pembunuhan pada diri individu dan orang lain. Setiap nyawa itu ada tanggungjawab dan hak yang perlu dilaksanakan.

Kembali kepada norma-norma dan mematuhi tatacara agama adalah salah satu cara terapi kepada kes sebegini. Kita juga yakin akan kepentingan sifat universal akhlak yang perlu sebarkan kebaikan dan kecintaan pada setiap individu dalam masyarakat tanpa mengenal perbezaan agama, keturunan dan bangsa.

Penyakit sosial sebegini tidak mudah dirawat sekiranya hanya tertumpu kepada sikap menuding jari mencari salah. Justeru, pihak berwajib, pendidik, golongan ilmuwan perlu terus memberi kesedaran kepada semua pihak yang terbabit. Pihak sekolah atau universiti harus mengenalpasti kumpulan pelajar yang bermasalah dan berkecenderungan melakukan buli dan penderaan.

Kumpulan ini perlu dirawat seperti kaunseling berterusan yang juga membabitkan ibu bapa mereka. Ibu bapa sebagai pembimbing terbaik dalam ruang lingkup pembangunan sahsiah dan akhlak anak-anak bermula dari rumah. Sesetengah mereka yang terbabit sebagai pembuli, didapati hilang kasih sayang dan tiada pembimbing. Mereka wajar dilibatkan dengan aktiviti kemasyarakatan dan menolong golongan miskin.

Mereka juga perlu didedahkan mengenai hukuman atas kesalahan jenayah sebagai satu bentuk pencegahan awal. Namun kesedaran awal mengenai tanggungjawab setiap mereka dalam masyarakat masih perlu ditekankan. Pelajar universiti mempunyai tahap pemikiran yang lebih matang dan sangat mudah untuk dibimbing dan mereka faham hukuman yang menanti sekiranya terbabit dengan gejala buruk ini.

Pelajar universiti mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Namun akibat hilang pertimbangan dan kadang-kadang dipengaruhi oleh rakan bermasalah, ketagihan dadah dan bahan terlarang, boleh menjurus kepada kes sebegini. Jangan biarkan generasi kita rosak dan mereka pula menyumbang kepada kerosakan masyarakat. Ini sangat merugikan semua pihak.

Secara keseluruhannya, perbuatan membuli adalah perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada orang lain.

*Penulis adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

249 dibaca
Berita Harian X