Isnin, 5 Jun 2017 | 9:37pm

Model Iriz dipertingkat kini di pasaran


PROTON Iriz.

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd mengeluarkan model Proton Iriz yang ditambah baik dan ia kini boleh didapati di semua pusat pameran PROTON seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata penambahbaikan yang dilakukan pada Iriz, termasuk pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran.

Katanya, PROTON juga menambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta memperhalusi pada penentukuran ECU, yang menyediakan tindak balas selari bagi pemanduan lebih baik.

Selain itu, katanya, Varian 1.3L Executive menerima penambahbaikan dari segi butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya dipasang dalam varian 1.6L.

"Kami juga membuat sedikit perbezaan dua tona warna pada bahagian luaran bagi varian 1.6L Premium, yang mana bumbung, spoiler dan cermin sisi berwarna hitam.

"Bagi bahagian dalam pula dilengkapi dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk separa kulit menjadikan Iriz kelihatan lebih cantik, bergaya dan menonjol," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika PROTON melancarkan model Persona pada Ogos lalu dengan pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran serta penjimatan bahan api yang lebih baik, ramai yang bertanyakan jika ciri yang sama boleh digunakan pada model Iriz.

"Saya menjawab secara positif kerana kami sememangnya sedang melakukan penambahbaikan terhadap Iriz pada masa itu.

"Hari ini, kami telah menunaikan janji. Iriz kini dilengkapi dengan ciri-ciri yang diperhalusi dan ditambah baik," katanya,

Ahmad Fuaad berkata, ciri-ciri keselamatan standard dikekalkan pada Iriz, yang mana model itu sememangnya dikenali dengan ciri keselamatan yang hebat dan struktur "Hot Press Forming" (HPF).

Iriz juga mendapat penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP untuk semua varian, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif secara menyeluruh seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Tarikan, Bantuan Brek dan Sistem Brek Anti-kunci (ABS).

Selain itu, Bantuan Kawalan Cerun, ISOFIX serta enam beg udara untuk varian Premium bagi memastikan perlindungan optimum untuk kedua-dua pemandu dan penumpang.

Iriz diiktiraf sebagai model bertaraf ASEAN NCAP 5, bintang yang paling mampu dimiliki di rantau ini.

Sejak pertama kali diperkenalkan ke pasaran pada September 2014, PROTON menjual lebih 45,000 unit Proton Iriz. Ini menjadikannya kereta PROTON kedua terlaris sejak dikeluarkan selepas PROTON Saga.

Berita Harian X