Isnin, 5 Jun 2017 | 2:32pm

FAMA, THGS perluas pasaran ke Asia Barat


AHMAD (kiri) bertukar dokumen dengan Adly selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi kerjasama strategik dalam penerokaan pasaran produk agro makanan ke Arab Saudi dan negara GCC di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang hari ini. - Foto BERNAMA

SELAYANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjalin kerjasama strategik dengan TH Global Services Sdn Bhd (THGS) untuk memasarkan produk agro makanan halal keluaran usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke pasaran Arab Saudi dan negara Lembaga Kerjasama Teluk (GCC).

Kerjasama dalam tempoh tiga tahun itu akan bermula dengan projek fasa pertamanya iaitu penghantaran produk rempah masakan pracampuran untuk operasi katering muassasah haji.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata dalam fasa pertama, sebanyak 14 unit simpanan stok (SKU) seberat 25 tan metrik akan dihantar ke Arab Saudi dan ia dijangka tiba di pelabuhan King Abdullah pada 28 Jun depan.

"Produk berkenaan adalah daripada tiga syarikat yang telah terpilih selepas proses saringan ketat dijalankan. Usahawan yang terbabit dipilih berdasarkan kriteria seperti keupayaan pengeluaran yang konsisten, produk yang menarik dan berpotensi serta memenuhi pensijilan kualiti.

"Kami menyasar jualan sebanyak SR1.5 juta (RM1.71 juta) untuk fasa pertama ini dan kami yakin ia dapat dicapai memandangkan terdapatnya permintaan yang tinggi untuk produk rempah makanan dari Malaysia," katanya selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Eksekutif THGS, Adly Mohamed.

Ahmad berkata, pihaknya menjangka fasa kedua kerjasama itu akan dimulakan menjelang hujung tahun ini.

"Untuk fasa kedua, kami akan membuat penghantaran 90 SKU produk membabitkan 30 syarikat tempatan.

"Dalam fasa itu juga, kami memberi tumpuan kepada saluran mesin layan diri (vending machine) di hotel yang menempatkan jemaah umrah Malaysia," katanya.

Sementara itu, Adly berkata peranan pihaknya dalam kerjasama berkenaan adalah sebagai pengantara bagi penerokaan produk halal di samping menyelaras bekalan ke pasar raya dan sektor perkhidmatan makanan di Arab Saudi khususnya di Jeddah sebagai permulaan.

"Selain itu, kami juga bertanggungjawab dalam mengenal pasti pembeli berpotensi di Jeddah dan negara GCC," katanya.

INFO:

*Dua kontena untuk penghantaran produk pracampuran fasa pertama.

Berita Harian X