Isnin, 5 Jun 2017 | 12:23am

Mladenovic cipta kejutan, Nadal tepati ramalan


Kristina Mladenovic menewaskan juara bertahan, Garbine Muguruza. - Foto EPA

PARIS: Walaupun melakukan kesilapan berulang sebanyak 16 kali, Kristina Mladenovic tetap gah membenam cabaran juara bertahan, Garbine Muguruza 6-1 3-6 6-3, untuk mara ke suku akhir tenis Terbuka Perancis di Roland Garros, sebentar tadi.

Mladenovic yang menjadi pujaan peminat tempatan, menang mudah di set pertama sebelum Muguruza yang juga pilihan keempat kejohanan bangkit di set kedua.

Namun pemain wanita Perancis ini sekali lagi membuktikan rekod pertembungan yang memihak kepada lawannya bukanlah alasan untuk mengalah.

Dia bermain agresif di set penentuan untuk menempah slot pertemuan dengan Timea Bascinszky yang mengalahkan Venus Williams.

Mladenovic, yang dihantui kecederaan belakang mendapat sokongan padu penonton yang menjerit 'Kiki, Kiki! setiap kali pemain kelahiran Serbia ini meraih mata.

"Saya juga sayangkan kami," katanya kepada penonton selepas menang di gelanggang Suzanne Lenglen.

"Kamu membuatkan saya menangis," katanya. "Biarkan saya bercakap. Ini adalah pertembungan 16 terbaik, menentang juara bertahan. Perlawanan besar yang memang saya nantikan.

"Ia tidak sempurna, masih ada kelemahan tetapi saya berjaya mengatasinya. Saya melakukan servis kedua sebanyak 35 kali, ia memang bagus kerana penonton memberikan saya kekuatan tambahan," katanya.

Dalam aksi lelaki, juara sembilan kali, Rafael Nadal turut mara ke suku akhir untuk rekod buat kali ke-11 manakala Caroline Wozniacki juga mara selepas mengetepikan juara 2009, Svetlana Kuznetsova.

Wozniacki menjadi pemain wanita pertama mara ke suku akhir selepas pemain Denmark itu menumbangkan Kuznetsova 6-1, 4-6, 6-2.

Nadal meneruskan rentak cemerlang di Roland Garros apabila menumbang pilihan ke-17 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-1, 6-2, 6-2 sekali gus menyamai rekod penampilan di suku akhir seperti yang dilakukan oleh Roger Federer.

Juara 14 kejuaraan Major ini tidak tewas dalam sebarang set dan hanya menghadiahkan enam mata dalam dua pusingan terdahulu untuk cuba menjadi pemain pertama meraih 10 kejuaraan dalam satu kejohanan Grand Slam yang sama.

"Saya gembira kerana Roberto adalah pemain yang begitu bagus. Amat penting untuk saya berada di suku akhir sekali lagi," kata Nadal yang menyambut hari jadi ke-31, kelmarin.

Karen Khachanov pula akan bertemu Andy Murray di pusingan keempat selepas pemain Russia itu menundukkan pilihan ke-21 dari Amerika Syarikat, John Isner 7-6 (7/1), 6-3, 6-7 (5/7), 7-6 (7/3). - Reuters

Berita Harian X