Ahad, 4 Jun 2017 | 11:45pm
ZAKI Ismail, 45, melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran Rabu lalu di Kampung Bechah Kaki , Lubok Stol, Rantau Panjang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

8 sekeluarga jalani ibadah puasa bawah khemah


PASANGAN Zaki Ismail bersama isteri, Zurina Abd Rahman dan anak-anaknya berteduh di bawah khemah sepanjang Ramadan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran Rabu lalu di Kampung Bechah Kaki , Lubok Stol, Rantau Panjang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

RANTAU PANJANG: Lapan sekeluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada hari kelima umat Islam berpuasa, terpaksa menjalani ibadah serta berbuka puasa di dalam khemah.

Pasangan Zaki Ismail, 45, dan Zurina Abd Rahman, 42, bersama lima anak perempuan mereka berusia lima hingga 21 tahun, serta seorang cucu berusia tiga bulan, kini tinggal di khemah di hadapan tapak rumah mereka yang terbakar.

Mereka juga bersahur dan berbuka di dalam khemah itu walaupun tidak mempunyai dapur atau ruang makan.


PASANGAN Zaki Ismail bersama isteri, Zurina Abd Rahman dan anak-anaknya berteduh di bawah khemah sepanjang Ramadan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran Rabu lalu di Kampung Bechah Kaki , Lubok Stol, Rantau Panjang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Zaki yang bekerja sebagai buruh bersyukur dan berterima kasih kerana ramai penduduk kampung dan saudara-mara datang menghantar kuih dan lauk buat mereka sekeluarga setiap kali waktu berbuka.

"Malah ada antara mereka yang ingin menumpangkan rumah untuk saya dan keluarga, tetapi terpaksa menolak kerana tidak mahu menyusahkan memandangkan keluarga saya yang besar.

"Namun, pada waktu malam cuaca di sini agak sejuk ditambah dengan ruang yang sempit di dalam khemah, jadi ada antara anak saya tidur di rumah saudara terdekat.

"Buat masa ini saya masih mencari rumah untuk disewa kerana bimbang dengan keselamatan keluarga lebih-lebih lagi khemah kami ini di tepi jalan yang menjadi laluan utama termasuk kenderaan berat," katanya ketika ditemui BH di Kampung Bechah Kaki, Lubok Stol di sini.


PASANGAN Zaki Ismail, bersama isteri, Zurina Abd Rahman, dan anak-anaknya berteduh dan berbuka puasa di bawah khemah sepanjang Ramadan apabila rumah mereka musnah. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dalam kebakaran jam 1.45 pagi, 31 Mei lalu, rumah milik Zaki musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Zaki turut meminta bantuan jiran untuk menyambung bekalan elektrik ke khemahnya dan menumpang mandi serta membasuh pakaian di rumah mereka.

"Walaupun terpaksa berhimpit di khemah yang sempit ini, saya bersyukur kerana masih ada tempat berteduh. Saya cuma fikirkan keselamatan anak dan cucu," katanya.

 

159 dibaca
Berita Harian X