Sabtu, 3 Jun 2017 | 10:11pm

Serbu Pasar Tani beli gula, minyak masak murah


PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pengurusan Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff (dua dari kanan) mengagihkan minyak masak dan gula harga subsidi kepada orang ramai pada Program Jualan Minyak Masak dan Gula Harga Rakyat di Pasar Tani Kekal, Kampung Nyiur Tujuh Jertih.

JERTIH: Lebih 2,000 penduduk di bandar ini `menyerbu' Pasar Tani Kekal di Kampung Nyior Tujuh, di sini, untuk membeli gula dan minyak masak yang dijual dengan harga lebih murah berbanding pasaran biasa.

Program julung kali itu diadakan sempena Ramadan anjuran Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNNK).

Sebanyak 4,000 kilogram (kg) gula dan 4,000 kg minyak masak habis dijual dalam masa kira-kira satu setengah jam bermula jam 3 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Komoditi dan Perladangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof , berkata program itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Orang ramai ternyata teruja apabila berpeluang membeli gula pada harga RM2.50 sekilogram (sekg) berbanding harga biasa RM2.95 sekg dan minyak masak pada harga RM2 sekg berbanding RM2.50 di pasaran biasa.

"Nampaknya penduduk setempat memberi sambutan luar biasa terhadap program yang julung kali diadakan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan program sama sekali lagi pada 17 Jun depan di tempat sama dengan menjual tiga jenis barang keperluan iaitu, minyak masak, gula dan tepung gandum.

Berita Harian X