Sabtu, 3 Jun 2017 | 8:34pm

Grande buat lawatan mengejut di hospital Manchester

LONDON: Penyanyi pop Amerika Syarikat (AS) Ariana Grande membuat lawatan mengejut kepada peminat muda yang cedera dalam serangan nekad di konsert disertainya di Manchester bulan lalu, berselfie bersama mereka dan menandatangani baju-t.

Grande kembali semula ke Britain, semalam bagi mengetuai konsert amal yang disertai bintang terkenal esok dan bergegas menuju ke hospital di utara bandar ini di mana kebanyakan mangsa yang cedera dirawat di sana.

Akhbar The Manchester Evening News berkata, beliau membawa hadiah dan berbual dengan peminat muda, termasuk Jaden Farrell-Mann, 10, yang patah kedua belah kaki dan cedera terkena serpihan serta sudah menjalani dua pembedahan.

"Jaden sedang duduk menonton televisyen apabila beliau (Grande) berjalan masuk. Beliau amat mempesonakan! Ia benar-benar satu kejutan," kata ibunya, Sharon kepada akhbar.

Sharon memaklumkan, anaknya sudah bertemu Putera William awal hari ini dan tidak lama kemudian penyanyi itu melawatnya.

Seorang bapa, Adam Harrison memberitahu BBC, anak perempuannya, Lily 'merasa seperti bintang rock' selepas berjumpa dengan idolanya lewat semalam dan 'teruja' menghadiri konsert.

Konsert 'One Love Manchester' akan disertai penyanyi kumpulan Coldplay, Justin Bieber, Miley Cyrus, Katy Perry, Pharrell Williams, Take That dan Black Eyed Peas.

Ia dijangka berlangsung di Emirates Old Trafford Cricket Ground, di sini. -Reuters

Berita Harian X