Selasa, 13 Januari 2015 | 3:37pm
MAYAT lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dalam kawasan semak berhampiran sebuah kilang kayu di Jalan Ara Kuda, di sini hari ini. - Foto NSTP

Mayat lelaki ditemui dalam semak di Ara Kuda

BUKIT MERTAJAM: Mayat lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dalam kawasan semak berhampiran sebuah kilang kayu di Jalan Ara Kuda, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, mayat berbungkus dengan kain selimut seperti dikafan itu ditemui seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada jam 8.30 pagi.

"Lelaki itu melalui kawasan berkenaan sebelum terbau benda busuk.

"Dia mendekati bungkusan seperti kafan dan ternampak mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an...lokasi kawasan semak itu agak jauh dari jalan besar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat yang lengkap berpakaian seluar jeans dan t-shirt warna gelap itu.

Rusli berkata pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati mayat lelaki itu tidak mempunyai tanda suntikan BCG di lengan dan polis juga tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X