Sabtu, 3 Jun 2017 | 6:43pm

2 pelajar tahfiz masih kritikal - Pengarah Hospital


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kanan) melawat mangsa kemalangan, Ahmad Syakir Azfar, 16, yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai (HKK) selepas kemalangan membabitkan beberapa orang pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai dalam kejadian pagi kelmarin. - Foto Syamsi Suhaimi

KUALA KRAI: Dua pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang yang terbabit dalam nahas di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Telekong semalam masih dalam keadaan kritikal.

Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh, berkata selain itu seorang lagi cedera parah, dua cedera ringan manakala dua yang lain telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Beliau berkata seorang yang kritikal itu dikenali sebagai Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17, dari Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang, Pasir Puteh yang mengalami pendarahan di kepala dan kini ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai semalam.

Manakala seorang lagi Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16, yang tinggal di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kuala Krai.

Remaja itu cedera di abdomen dan kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Dr Mohd Salleh berkata seorang lagi pelajar Muhammad Aiman Haikal Mohd Nasir, 17, dari Kampung Lepan Jaya, Gua Musang kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu kerana cedera parah akibat patah tangan kiri dan kaki kanan.

Beliau sebelum itu mengiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menziarah serta menyerahkan sumbangan kepada dua pelajar Ahmad Syakir Azfar dan Muhammad Syuwari Mana Sikana, 14, di Hospital Kuala Krai.

Muhammad Syuwari, dari Kampung Slow Temiang, mengalami cedera ringan dan ditempatkan di wad biasa.

Menurut Dr Mohd Salleh, pemandu van yang juga guru pengiring kepada kumpulan pelajar itu Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, yang berasal dari Labok, Machang masih menerima rawatan di Hospital Machang kerana cedera ringan di muka dan bengkak di mata kiri.

Yang dibenarkan pulang ialah Mohamad Aidil Ismail, 14, dari Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang serta penumpang hadapan van yang juga guru pengiring Muhamad Izat Muhammad Nor, 24, dari Kampung Baka, Machang.

Hadir sama dalam lawatan itu Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Nahas yang mengorbankan tujuh pelajar maahad itu berlaku ketika sekumpulan 12 pelajar dan dua guru pengiring dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghadiri program di Madinah Ramadan dekat Stadium Sultan Muhammad IV.

Dalam kemalangan kira-kira 9.40 pagi itu, van yang mereka naiki dikatakan terbabas dan terjunam ke dalam tebing sebelum merempuh rumah penduduk. - BERNAMA

Berita Harian X