Sabtu, 3 Jun 2017 | 11:55am
ANGGOTA polis berpakaian preman memeriksa penunggang motosikal yang dikesan berkumpul di sekitar Jalan Pegawai yang sering menjadi tumpuan mat rempit. - Foto ihsan PDRM

4 buat 'wheelie' kena cekup

ALOR SETAR: Empat mat rempit ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dalam Ops Samseng di sini, awal pagi tadi.

Selain menunggang secara laju dan melulu, empat mat rempit berusia antara 18 hingga 20 tahun itu turut dikesan melakukan aksi 'wheelie' yang turut mencetus risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat penunggang motosikal terbabit, manakala motosikal digunakan mereka pula disita untuk tindakan lanjut.

Mengulas operasi itu, beliau berkata Ops Samseng dijalankan bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tertumpu di lokasi yang sering menjadi tumpuan aksi mat rempit di sekitar bandar raya ini.

Selain Jalan Pegawai, katanya lokasi lain yang turut menjadi tumpuan aksi rempit khususnya pada malam minggu ialah Jalan Kuala Kedah, Lebuhraya Darul Aman atau Jalan Kancut dan Kepala Batas.

"Dalam operasi berkenaan seramai 38 individu diperiksa, ...selain empat yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya, kita turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan trafik.

"Kita akan memohon perintah tahanan reman ke atas semua empat penunggang motosikal yang ditahan itu mengikut Seksyen 42(1)  Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Rozi pada masa sama menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing kerana kebanyakan yang diperiksa adalah remaja dan masih bersekolah.

Berita Harian X