Sabtu, 3 Jun 2017 | 7:20am

Nadal gah, Djokovic bergelut di Roland Garros


RAFAEL Nadal selepas menewaskan Nikoloz Basilashvili pada aksi pusingan ketiga, tenis Terbuka Perancis yang berlangsung di Roland Garros, awal pagi tadi.

PARIS: Juara sembilan kali, Rafael Nadal hanya melepaskan satu mata pada persembahan penuh dominasi untuk melangkah ke peringkat 16 terakhir tenis Terbuka Perancis namun penyandang juara, Novak Djokovic memerlukan lima set sebelum mara.

Kemenangan Nadal membuktikan betapa dia sekali lagi boleh dianggap calon pilihan di Roland Garros dengan kemenangan 6-0, 6-1, 6-0 ke atas pemain Georgia, Nikoloz Basilashvili.

"Kesempurnaan? Saya tidak tahu mengenai perkara itu," kata Nadal yang merancang meraikan hari lahirnya ke-31, hari ini dengan menyaksikan pertembungan final Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Juventus.

"Saya fikir saya bermain dengan amat baik hari ini. Perkara yang paling penting ialah mara dan saya menampilkan permainan terbaik saya."

Bintang Sepanyol itu dijadual bertemu rakan senegaranya, Roberto Bautista Agut bagi memburu tempat ke peringkat suku akhir.

Djokovic pula bergelut untuk menewaskan Diego Schwartzman sebelum pemain pilihan kedua itu bangkit daripada ketinggalan dan menang 5-7, 6-3, 6-3, 6-1, 6-1.

Pemenang 12 kali gelaran Grand Slam itu juga berbalah dengan pengadil, Carlos Ramos pada set keempat dan diberikan amaran sebelum dia membuktikan dirinya memang terlalu kuat buat Schwartzman.

Di pusingan keempat, pemain dari Serbia itu akan menentang pemain Sepanyol yang juga pilihan ke-19, Albert Ramos-Vinolas.

"Saya menjangkakan perlawanan yang sukar, ada begitu banyak pertukaran di garisan belakang dan keadaannya amat berat," kata Djokovic. "Saya mengucapkan tahniah kepada Diego atas pertarungan hebat ini. Dia bermain dengan amat, amat baik."

Turut mara, pilihan kelima dari Kanada, Milos Raonic selepas lawannya, Guillermo Garcia-Lopez menarik diri pada set kedua akibat kecederaan paha.

Dominic Thiem yang mara ke peringkat separuh akhir tahun lalu dan menjadi pemain tunggal menewaskan Nadal di gelanggang tanah liat musim ini mara selepas menumbangkan pilihan ke-25 dari Amerika Syarikat, Steve Johnson 6-1, 7-6 (7/4), 6-3.

Dalam kategori wanita, Garbine Muguruza meneruskan momentum untuk mengekalkan kejuaraan menerusi kemenangan 7-5, 6-2 ke atas pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva.

Dia dijadual menentang pemain tuan rumah yang juga pilihan ke-13, Kristina Mladenovic di peringkat seterusnya. - AFP

Berita Harian X