Jumaat, 2 Jun 2017 | 11:39pm

Kes menyamar tentera tiada kaitan Daesh


Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim (kiri) menyampaikan replika cek agihan Ihya Ramadan Tentera Darat sebanyak RM24,000 untuk 8 buah masjid dan 32 buah surau dalam naungan 2 Divisyen kepada Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar pada majlis Berbuka Puasa Bersama Warga 2 Divisyen di Batalion ke 9 Rejimen Ranjer Diraja,Taiping. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

TAIPING : Siasatan Tentera Darat terhadap dua orang awam yang menyamar sebagai anggota tentera dan menceroboh Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pagi semalam tiada kaitan dengan ahli kumpulan militan Daesh.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim, berkata kes itu sudah diserahkan kepada polis dan pihaknya turut menyiasat tujuan dua lelaki berkenaan menceroboh masuk ke dalam kem terbabit dan menyamar sebagai anggota tentera.

Katanya, setakat ini pihaknya mendapati dua lelaki berkenaan tidak ada kaitan dengan kumpulan militan terbabit. 

"Mereka ini mungkin suka-suka dan kita tidak tahu apa tujuan mereka.

"Mereka memang ada uniform (pakaian seragam) maknanya mereka merancang untuk menyamar masuk tetapi apa tujuan kita tidak tahu ," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Warga 2 Dvisiyen Bersama PTD di Batalion ke-9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di sini hari ini. 

Zulkiple berkata, susulan kejadian itu, beliau turut mengarahkan siasatan terhadap pos kawalan masuk ke kem terbabit sekiranya didapati berlaku kelonggaran dalam aspek kawalan keselamatan.

"Selain itu, kita mengeluarkan arahan untuk semua pasukan lebih berhati-hati (terutama) dalam keadaan sekarang ini dengan insiden di Filipina, Thailand dan Jakarta, Indonesia yang diancam pengeboman. 

"Kita arahkan semua kem berhati-hati termasuk dalam kawalan urusan keluar masuk serta peralatan yang dibawa masuk dalam kem.

"Syabas juga kepada anggota yang bertugas kerana cekap untuk mengenali dan mengesan perkara tidak diingini termasuk memeriksa kad pengenalan serta mengesan gerak geri mereka yang menimbulkan syak," katanya.

Dalam kejadian pada jam 1.15 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun menaiki kereta PROTON Saga pada mulanya memberitahu mahu memasuki ke kem berkenaan bertemu kenalan mereka yang didakwa anggota tentera.

Mereka bagaimanapun ditahan berikutan gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan identiti anggota tentera ketika pemeriksaan di pos kawalan dijalankan.  

18 dibaca
Berita Harian X