Jumaat, 2 Jun 2017 | 9:15pm

Budak jatuh parit ditemui lemas


ANGGOTA bomba mengangkat kanak-kanak mangsa lemas yang terjatuh ke dalam parit ketika menggunakan titi di Jalan Lembaga Elektrik, Kampung Beaufort Selatan di Beaufort, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba Beaufort

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas dalam parit di Jalan Lembaga Elektrik, Kampung Beaufort Selatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Mohd Haikal Matlan, 8, dipercayai terjatuh ketika cuba menyeberangi parit berkenaan menggunakan sebatang titi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Runzee Abdul Thani ketika dihubungi, berkata apabila menyedari mangsa terjatuh, seorang rakannya terus mendapatkan bantuan orang awam.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang dan tiba di lokasi beberapa minit kemudian.

"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira 60 meter daripada lokasi dia dikatakan terjatuh pada jam 3.59 petang," katanya.

Runzee berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Beaufort namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Berita Harian X