Jumaat, 2 Jun 2017 | 8:29pm
Salah sebuah lori tiga tan yang mengalami kerosakan teruk selepas bertembung dengan sebuah lagi lori di KM 63, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Kalumpang, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba dan PDRM

2 pemandu parah lori bertembung


Salah sebuah lori tiga tan yang mengalami kerosakan teruk selepas bertembung dengan sebuah lagi lori di KM 63, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Kalumpang, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba dan PDRM

KUALA KUBU BHARU: Dua pemandu lori parah apabila kenderaan mereka bertembung di Kilometer 63, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berhampiran Kalumpang di sini, pagi tadi,

Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu, lori tiga tan jenis Isuzu bermuatan besi terpakai dipandu Muhammad Saad Kamaruddin @ Tambi, 28, bersama dua kelindan dalam perjalanan ke arah utara sebelum bertembung dengan lori tiga tan tanpa muatan jenis Hino dipandu Lim Peck Huat, 57.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua pemandu lori terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing dengan Muhammad Saad mengalami kecederaan parah di kepala manakala Peck Huat cedera parah pada kaki dan beberapa bahagian badan lain.

Bagaimanapun, dua kelindan bersama Muhammad Saad, Mohd Anim Rosli, 20, dan rakannya, Shahril a/l Selasih, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata siasatan awal mendapati lori Isuzu berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan itu.

"Kedua-dua pemandu yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim.

"Muhammad Saad dan dua kelindannya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk rawatan, manakala Peck Huat dikejarkan ke Hospital Selayang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie, mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

Berita Harian X