Jumaat, 2 Jun 2017 | 4:25pm

7 pelajar tahfiz maut nahas van


KEMALANGAN maut membabitkan tujuh pelajar di KM55 dekat Kampung Telekong, Kuala Krai, semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KUALA KRAI: Keceriaan 12 pelajar tahfiz untuk menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan, Kota Bharu, bertukar ngeri apabila enam daripada mereka maut selepas van dinaiki terbabas di Kampung Telekong di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 9.30 pagi itu, lima pelajar termasuk seorang berasal dari Thailand, maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Lima pelajar yang meninggal dunia di lokasi ialah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan Sarifuddin Muhammad, 14, (Thailand) manakala Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, meninggal dunia di HKK.

Kemalangan itu juga menyebabkan enam lagi pelajar tahfiz dan dua guru pengiring parah. Mereka kini dirawat di HKK dan Hospital Machang.

Mereka ialah Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16; Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17; Muhammad Aidil Ismail, 14; Muhammad Syuwari Manasikana, 14; Muhammad Nur Haikal Fauzi, 14; Muhammad Hamzi Muhammad Husham, 24; dan Muhammad Izzat Muhammad Nor, 24

Semua mangsa dari Sekolah Tahfiz CIC CT-One Islamic Centre atau Pusat Tahfiz Al Hashimi, Kampung Tualang, Kuala Krai, yang diundang ke program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan bagi membaca dan tafsir al-Quran sempena Ramadan.

Madinah Ramadan yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, diadakan setiap tahun dengan aktiviti keagamaan seperti berbuka puasa, solat Tarawih, tazkirah, bicara ilmu, bacaan al-Quran dan majlis khatam al-Quran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, ketika dihubungi, berkata van jenis Maxus V80 (WEBSTAR) yang dinaiki mangsa, terbabas sebelum merempuh sebuah rumah.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan membabitkan penghuni rumah berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

55 dibaca
Berita Harian X