Jumaat, 2 Jun 2017 | 3:18pm

Lagi kejadian pandu lawan arus


SEBUAH kereta dipercayai jenis Toyota Vios yang dikatakan dipandu seorang wanita berusia 30-an melawan arus didakwa berlaku di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) dari Tol Sungai Nyiur ke Seberang Jaya, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam. - Video Ihsan pembaca

BUTTERWORTH: Lagi kes kereta dipandu melawan arus, kali ini di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dari Tol Sungai Nyiur ke Seberang Jaya, dekat sini, malam tadi.

Ia membabitkan sebuah kereta dipercayai jenis Toyota Vios yang dikatakan dipandu seorang wanita berusia 30-an dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam.

Dalam klip video berdurasi 40 saat itu, wanita berkenaan didapati memandu secara melawan arus dan mengejutkan pemandu kereta lain yang menggunakan laluan berkenaan.

Tiada kemalangan dilaporkan berlaku namun ia mengundang kemarahan pengguna lebuh raya berkenaan yang membunyikan hon sepanjang pemanduan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu yang terbabit dengan insiden berkenaan.

Berikutan itu, katanya, pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita masih menunggu mana-mana individu yang mempunyai butiran maklumat kereta terbabit untuk tampil memberikan maklumat atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Ini kerana, video yang diviralkan pengguna lebuh raya itu diambil dari jarak jauh dan sukar untuk kita mengenal pasti jenis kereta mahupun nombor plat kenderaan berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kejadian pada 14 Mac lalu, seorang juruteknik kilang maut selepas keretanya dirempuh kenderaan seorang model sambilan yang memandu melawan arus dalam kejadian di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Permatang Pauh, Bukit Mertajam.

Semalam, seorang pemandu dirakam memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kulai, Johor.

Berita Harian X