Jumaat, 2 Jun 2017 | 3:00pm

Yamaha MT-07 tunggangan unik

MENUNGGANG uji Yamaha MT-07 sudah cukup bagi mereka yang mahukan jentera berkuasa agak sederhana dan mudah dikendalikan meskipun dalam apa jua keadaan.

Keterujaan pasti akan terbit dalam hati sesiapa saja yang menunggang uji MT-07 meskipun si 'abangnya' MT-09 lebih berkuasa.

Ini adalah sesi kedua BH Auto menunggang uji jentera ini selepas mengendalikannya setahun lalu.

Pada penulis, ia tidak hanya menawarkan daya tujahan yang baik, tetapi pengawalannya juga memuaskan hati.

BH Auto merasakan kuasa yang ditawarkan jentera Yamaha ini sudah mencukupi kerana daya tujahannya tidaklah terlalu mengejutkan dan sebenarnya ia amat menyeronokkan.

Prestasinya tidaklah mengecewakan meskipun MT-09 yang pernah ditunggang uji penulis sebelum ini menyajikan pengalaman yang amat mengagumkan.

Seperti dijangka, ia cukup memberi kepuasan kepada penulis. Tidak hanya dengan reka bentuknya, malah kuasanya setimpal dengan kemampuan jentera 689cc ini.

PENGENDALIAN jentera 689cc sangat menyeronokkan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tidak hanya kedudukan tempat duduknya yang sangat selesa bagi penulis yang berketinggian 162 sentimeter, malah jentera ini tidaklah berat untuk digerakkan (menggunakan kaki) apabila berada pada kedudukan statik.

Jika tidak ditunggang pada kelajuan tinggi, semestinya ia tidak memberikan kepuasan kepada penulis.

Pada kelajuan sekitar 170 kilometer sejam (km/j), penulis masih kekal selesa dengan struktur badan kerana seakan-akan sudah biasa menunggang MT-07 meskipun tatkala menongkah angin.

Seperti biasa, penulis tidaklah mempunyai hati kering untuk terus memecut pada kelajuan tertinggi, cukuplah sekadar 180 km/j walaupun jentera ini masih memiliki tuang untuk lebih laju.

Satu lagi keterujaan penulis yang jelas sewaktu menunggang uji MT-07 adalah daya tujahannya mencukupi dan tidak terlalu menonjol. Sebenarnya, daya tujahan yang ditawarkan ini membuatkan penulis selesa.

Pada kedudukan gear-6, motosikal ini masih 'gagah' untuk memecut walaupun bermula pada kelajuan 80 km/j ketika pendikit dipulas.

Enjin: 689cc, dua silinder, empat lejang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tork maksimum: 68Nm @ 6,500rpm. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sifat responsifnya cukup membuatkan enjin dua silinder 689cc ini cukup serasi dengan konsep keseluruhan motosikal yang dibangunkan untuk menjadi ringan dan menyeronokkan.

Dari sudut tunggangan, penulis yang sememangnya berbadan kecil merasakan ia mudah dikawal termasuk ketika 'mencelah' kenderaan ketika berada di Lebuhraya Utara-Selatan yang agak sesak pada waktu petang.

Walaupun saiz badannya sedikit lebar, namun penulis sangat yakin untuk 'mencilok' tanpa rasa ragu-ragu selain deruman ekzosnya juga tidak mengecewakan ketika penulis memberi isyarat kepada kenderaan (selain menggunakan hon) untuk memberi sedikit laluan.

Selain itu, tempat duduk berasingan bagi penunggang dan penumpang yang terdapat pada MT-07 ini dirasakan lebih empuk sekali gus menjadikan perjalanan yang lama dan jarak jauh lebih selesa.

Secara keseluruhan, MT-07 mampu memberi kepuasan tunggangan bagi mereka yang mahu memiliki motosikal berkuasa 700cc.

Penulis pasti rindu dengan penangan MT-07 dan mungkin menunggang uji lagi jika diberi kesempatan oleh Yamaha Hong Leong Motor.

YAMAHA MT-07 tunggangan unik. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Info
Yamaha MT-07

  • Harga jualan asas selepas GST RM35,296 (unit CKD)
  • Enjin: 689cc, dua silinder, empat lejang, penyejukan cecair, DOHC, empat injap, suntikan bahan api
  • Transmisi: Enam kelajuan, klac basah, pacuan rantai
  • Kuasa maksimum: 74hp @ 9,000rpm
  • Tork maksimum: 68Nm @ 6,500rpm
  • Berat: 179kg
  • Brek hadapan: cakera berkembar 282mm
  • Brek belakang: cakera tunggal 245mm
  • Suspensi hadapan: Fork teleskopik
  • Suspensi belakang: Lengan ayun, suspensi tunggal
  • Kapasiti tangki: 14 liter
  • Dua pilihan warna bagi unik CKD iaitu 'Extreme Yellow' & 'Deep Armor'

REKA bentuk moden dan bergaya. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Berita Harian X