Jumaat, 2 Jun 2017 | 7:53am

Lyon rangkul trofi Liga Juara-Juara wanita


OLYMPIQUE Lyonnais menewaskan Paris Saint Germain (PSG), 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti untuk merangkul gelaran juara wanita Liga Juara-Juara. - Foto Reuters

CARDIFF, United Kingdom: Penjaga gol Olympique Lyonnais, Sarah Bouhaddi menjaringkan gol kemenangan ketika pasukannya menewaskan Paris Saint Germain (PSG), 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti untuk merangkul gelaran juara wanita Liga Juara-Juara.

Pertembungan itu menyaksikan kedua-dua pasukan buntu jaringan dan terikat 0-0 sepanjang aksi 90 minit serta tambahan masa hingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ketika kedudukan penentuan sepakan penalti terikat 6-6, penjaga gol PSG, Katarzyna Kiedrzynek gagal menyempurnakan sepakan selepas itu sekali gus membuka ruang besar kepada Bouhaddi untuk menjaringkan gol ketujuh pasukannya.

Bouhaddi dijulang sebagai hero apabila membantu Lyon mencipta sejarah muncul pasukan pertama memenangi trofi Liga Juara-Juara kali kedua berturut-turut.

Sebelum ini, Lyon pernah merakam kejayaan berganda di pentas Liga Juara-Juara pada musim 2011 dan 2012.

Kemenangan dalam aksi final yang menyaksikan pertembungan dua kelab dari Perancis awal pagi tadi itu memberikan Lyon trofi keempat Liga Juara-Juara. - Reuters

Berita Harian X