Jumaat, 2 Jun 2017 | 12:37am

Frost rancang rombak struktur jurulatih


Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Fot NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melakukan perubahan struktur kejurulatihan dalam badan induk itu, namun menegaskan ia masih awal untuk diumumkan.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen menegaskan perubahan itu tidak hanya dibuat berdasarkan prestasi hambar skuad negara pada kempen Piala Sudirman 2017 yang menyaksikan skuad diketuai Datuk Lee Chong Wei tersingkir di suku akhir.

"Kita dapat lihat bagaimana mereka berlatih dan saya sentiasa mempunyai perancangan untuk melakukan pengstrukturan semula bahagian kejurulatihan sejak sekian lama," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Legenda badminton Denmark itu memaklumkan, sebarang keputusan hanya akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

"Saya tidak boleh beritahu apa akan berlaku, kami membincangkannya dalam mesyuarat CTC terlebih dulu dan lihat penerimaannya. Selepas itu barulah kita buat keputusan. Sukar untuk saya memberitahu ia adalah perubahan besar atau tidak," kata Frost.

Berdasarkan struktur jurulatih sedia ada, Hendrawan dan Tey Seu Bock membimbing pemain perseorangan lelaki termasuk Chong Wei dalam Projek Khas, manakala Indra Wijaya melatih skuad pelapis, diikuti tiga jurulatih di bahagian beregu lelaki, Jeremy Gan, Rosman Razak serta Cheah Soon Kit.

Rony Agustinus dan Sairul Amar Ayob dipertanggungjawabkan membimbing perseorangan wanita, manakala Wong Pei Tty bersama Lim Pek Siah membimbing skuad beregu wanita.

Pemain beregu campuran pula dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Chin Eei Hui bersama Pang Cheh Chang.

20 dibaca
Berita Harian X