Khamis, 1 Jun 2017 | 12:33pm

Lelaki maut jatuh bangunan


NAZRUL Ab Kiplli.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui mati dengan kecederaan di kepala dan kaki, dipercayai terjatuh dari tingkat 10 kondominium Marina Court Kota Kinabalu, di sini, awal pagi tadi.

Mayat Mohd Nazrul Ab Kiplli, 35, dari Papar, ditemui pengawal keselamatan selepas dimaklumkan oleh sepupu perempuan mangsa kira-kira jam 1 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata sejurus menerima panggilan, anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 1.05 pagi.

"Sejurus tiba, pasukan bomba menurunkan mangsa dari tingkat satu menggunakan tangga dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 2.30 pagi," katanya dalam kenyataannya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata berdasarkan siasatan, kejadian berlaku di satu unit kediaman di tingkat 10.

"Menurut sepupu mangsa yang tinggal di situ, mangsa datang ke rumah terbabit untuk menghantar kunci kereta.

"Ketika berada di sana, berlaku petengkaran antara mereka dan ketika berada di balkoni, mangsa tergelincir lalu terjatuh ke tingkat satu. Saksi kemudian menghubungi pengawal keselamatan untuk mendapatkan bantuan.

"Siasatan lanjut di tempat kejadian menemui mangsa dalam keadaan terbaring atas lantai di balkoni tingkat satu dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (QEH) yang berada di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap mayat mangsa oleh pegawai penyiasat menemui kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

"Mayat mangsa dihantar ke QEH untuk bedah siasat. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Berita Harian X