Khamis, 1 Jun 2017 | 10:30am

Zarina Zainuddin jual kosmetik, kuih raya

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarina Zainuddin akan menjual jenama produk kosmetik dan pulut kuning sepanjang tiga hari penganjuran Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), mulai esok hingga Ahad ini.

"Saya akan menjual produk Addura seperti gincu, pencuci muka, selain tudung Kimmar, beraneka pulut kuning bersama rendang ayam, rendang daging, rendang kerang, sambal bilis petai serta biskut raya.

"Ini peluang untuk peminat membeli terus dari jualan gerai, merasai air tangan dan mendapatkan produk Addura yang bertahan lama di pasaran," katanya ketika dihubungi BH.

Komitmen beliau sebagai anak seni tidak menghalang minatnya untuk mengasaskan jenama kosmetik milik, Addura lebih 20 tahun lalu.

Bukan itu sahaja, pelakon jelita itu turut menjual pulut kuning rendang, biskut raya, di laman Instagram peribadinya yang mempunyai kira-kira 700,000 pengikut.

Selain itu, Zarina turut menjual jamu buatan ibunya, Zahora Abd Mutalib yang dihasilkan untuk kesegaran tubuh, mengembalikan kecantikan dalaman dan luaran.

Beliau antara selebriti yang membuka gerai jualan pada FMBH'17 edisi ketiga itu berkonsepkan bazar lokal yang menyediakan platform usahawan berniaga menjelang perayaan.

Mengulas mengenai FMBH'17, beliau melihat bazar jualan satu pendekatan untuk orang ramai berniaga dengan pelbagai keperluan seisi keluarga, terutama menjelang hari raya.

"Misalnya menerusi Addura saya berkongsi penjagaan kecantikan kerana wanita sentiasa mahu tampil anggun, jelita, penampilan menarik, sihat dan berkeyakinan.

"Sebab itu saya seronok berkongsi pengetahuan dan rutin kecantikan kerana semua orang boleh cantik, berkeyakinan dan teruja untuk membeli-belah untuk lebaran nanti," katanya.

Zarina berkata, kini sedang menjalani penggambaran teleraya Projek Kueh Mak Leha, berkata beliau akan berada di gerainya setiap hari pada sebelah malam.

"Jadi datang beramai-ramai ke gerai saya kerana saya akan menjual tar nanas, biskut mentega kacang badam, crispy Zarina Zainuddin dan banyak lagi," katanya.

Berita Harian X