Khamis, 1 Jun 2017 | 7:34am

Nadal, Djokovic, Muguruza ke pusingan ketiga


Nadal dan Djokovic

PARIS: Pencabar utama kejuaraan Terbuka Perancis, Rafael Nadal dan Novak Djokovic, melangkah ke peringkat 32 terakhir, awal pagi tadi ketika penyandang juara kategori wanita, Garbine Muguruza sedikit goyah sebelum mara.

Bintang Sepanyol, Nadal menewaskan pemain Belanda, Robin Haase 6-1, 6-4, 6-3 di gelanggang Philippe Chatrier bagi meneruskan pemburuan gelaran ke-10 di Roland Garros.

"Sepanjang keseluruhan perlawanan ini, semuanya di bawah kawalan atau lebih, jadi saya sangat gembira. Memenangi permainan dengan straight set juga sentiasa menjadi berita yang baik," kata Nadal.

Beliau dijadual menentang pemain Gerogia, Nikoloz Basilashvili di pusingan ketiga.

Penyandang juara, Djokovic pula menewaskan pemain Portugal, Joao Sousa 6-1, 6-4, 6-3 dan akan bertemu pemain Argentina, Diego Schwartzman, di peringkat seterusnya.

Pilihan keenam, Dominic Thiem, mara ke pusingan ketiga susulan kemenangan ke atas pemain Itali, Simone Bolelli 7-5, 6-1, 6-3.

Kelompok pemain pilihan lain seperti Milos Raonic, Grigor Dimitrov dan David Goffin juga mara, namun pemain harapan tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga, yang juga pilihan ke-12 dikejutkan selepas tewas kepada Renzo Olivo.


Garbine Muguruza

Sementara itu, dalam kategori wanita, Muguruza dipaksa bekerja keras oleh pemain di ranking ke-53 dunia, Anett Kontaveit sebelum mencatat kemenangan sukar 6-7 (4/7), 6-4, 6-2 ke atas pemain kelahiran Estonia itu.

Di pusingan ketiga, pemain pilihan keempat dari Sepanyol itu dijadual bertemu Yulia Putintseva dari Kazakhstan.

"Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar," kata Muguruza yang menewaskan Serena Williams pada final tahun lalu.

Pemain kelayakan dari Amerika Syarikat, Bethanie Mattek-Sands turut mencipta kejutan apabila menewaskan pemain Republik Czech, Petra Kvitova 7-6 (7/5), 7-6 (7/5) dalam kejohanan pertamanya sejak insiden serangan pisau, November lalu.

Kakak Serena, Venus Williams, Caroline Wozniacki turut mara, namun kejutan terbesar dilakukan pemain Tunisia, Ons Jabeur yang menewaskan pemain pilihan keenam dari Slovakia, Dominika Cibulkova 6-4, 6-3. - AFP

Berita Harian X