Khamis, 1 Jun 2017 | 7:00am

Accord generasi ke-9 taruhan baharu Honda

DALAM usaha mengekalkan populariti dan memastikan peminat Honda Accord terus setia dengan jenama premium Jepun itu, akhir tahun lalu Honda Malaysia Sdn Bhd melancarkan Accord baharu bagi menawarkan lebih nilai kepada pembeli.

Menerusi model dipertingkat generasi ke-9 ini, Honda menampilkan tiga varian iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L, yang kesemuanya dipertingkatkan dari segi penampilan luaran, kemasan dalaman, prestasi dan ciri keselamatan.

Daripada aspek luaran, ia dilengkapi gril hadapan berserta gaya baharu Solid Wing ciptaan Honda serta bar krom. Dipadankan dengan lampu utama LED bersama pelarasan automatik dan turut dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu, menjadikan Accord yang dipertingkat ini lebih menawan.

Bahagian belakang turut diberi nafas lebih segar dengan beberapa elemen baharu termasuk trunk lid yang ditampilkan rekaan krom seakan-akan bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Elemen baharu lain termasuk lampu belakang LED, lampu kabus dan juga bampar belakang dengan rekaan krom.

Bagi memenuhi keperluan eksekutif moden, Accord baharu dilengkapi unit paparan audio Skrin Sentuh Tujuh Inci bersama i-MID yang serasi dengan Apple CarPlay dan ia juga serasi dengan Android Auto.

Ciri moden lain termasuk ciri telefon bebas tangan dengan pengecaman suara dan MirrorLink sebagai kemudahan komunikasi ketika memandu, sistem kepintaran masuk, butang penghidup enjin, kawalan jelajah, Honda LaneWatch dan cermin pandang belakang auto malap.


Stereng dan panel meter.

Ia turut dilengkapi pedal penukar gear, upholsteri tempat duduk dengan material kulit berwarna hitam serta lapan-cara pelarasan bagi tempat duduk pemandu dan empat-cara pelarasan bagi tempat duduk penumpang hadapan.

Dari segi keselamatan, ketiga-tiga varian Accord kini dilengkapi enam beg udara, selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Agihan Daya Brek (EBD), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Sistem Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Pemula di Bukit (HSA), Kamera Pandang Belakang Pelbagai Sudut dan Palam ISO. Tidak ketinggalan, Accord baharu ini turut dilengkapi Kawalan Bunyi Bising Aktif (ANC) dan Kawalan Bunyi Aktif (ASC).

Baru-baru ini, BH Auto berkesempatan memandu uji varian Accord paling mewah iaitu 2.4 VTi-L dari Kuala Lumpur ke Pantai Chendor, Kemaman secara bergilir bersama dua lagi wakil media sempena `Program Pandu Uji Accord Media'.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC bersama teknologi Earth Dreams, yang mampu menghamburkan kuasa 175 ps pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm.

Dengan kapasiti enjin itu, tahap keupayaannya memang tidak perlu dipertikaikan dalam menghamburkan kuasa menguja, sekali gus menghasilkan prestasi cukup memuaskan. Model dipertingkat ini tidak perlu dikerah untuk menghasilkan kuasa yang lebih pantas.


Rekaan yang canggih.

Dijana enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC.

Honda masih mengekalkan kotak gear konvensional automatik lima-kelajuan untuk Accord 2.4 VTi-L (walaupun banyak pesaing kini dilengkapi automatik tujuh-kelajuan).

Model Accord dipertingkat ini juga dilengkapi pedal penukar gear pada roda stereng, selain mod pemanduan biasa (D) dan agresif (Sport). Ini menjadikan pemanduan begitu selesa dan menyeronokkan kerana penukaran gear boleh dilakukan dengan hanya menggunakan pedal penukar gear pada roda stereng.

Menambahkan lagi keselesaan Accord baharu sama ada sebagai pemandu atau penumpang ialah sistem suspensinya yang menggandingkan topang MacPherson di hadapan dan Multi-link di belakang.

Sistem brek pula dikawal cakera Ventilated di hadapan dan cakera padu untuk belakang, selain turut dilengkapi brek kaki parkir. Dipasang rim bersaiz 18-inci berserta tayar 235/45R18, menjadikan pemanduan Accord 2.4 VTi-L begitu mantap ketika berada di selekoh pada kelajuan tinggi kerana roda ini agak berat.

Sepanjang sesi pandu uji, penulis menjadi penumpang di tempat duduk belakang untuk perjalanan dari ibu kota Kuala Lumpur ke Plaza Tol Karak, yang sebahagian besar melalui Lebuhraya Karak. Tidak banyak cabaran yang boleh menguji jentera ini, kecuali dari segi kemampuan prestasi yang ternyata amat memuaskan.


Tempat duduk pemandu yang selesa.

Penulis mengambil alih stereng pemandu bermula dari Plaza Tol Karak hingga Plaza Tol Maran. Laluan ini lebih mencabar dan benar-benarnya menguji kemampuan Accord 2.4 VTi-L kerana ia gabungan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan jalan FELDA Jengka.

Ternyata sistem suspensi jentera ini berupaya meminimumkan olengan dan lambungan sepanjang laluan itu yang kebanyakannya melalui jalan berselekoh, permukaan kurang rata dan berbukit, selain agak sempit.

Selain itu, pedal penukar gear pada roda stereng dan mod sporty juga banyak membantu penulis mengendalikan jentera ini dengan selesa dan menyakinkan sama ada ketika di selekoh atau mendaki bukit. Laluan sepanjang jalan FELDA ini memerlukan pemanduan agak agresif, terutama ketika memotong deretan beberapa kenderaan.

Sistem brek dan saiz/rim yang besar serta berat juga menambak keyakinan pemanduan sepanjang laluan ini yang sibuk dengan kenderaan, terutama lori membawa kelapa sawit.

Bersandarkan pengalaman penulis sebagai penumpang dan pemandu yang menyaksikan sesi pandu uji melangkaui jarak perjalanan lebih 1,000 kilometer (km), ternyata Accord 2.4 VTi-L yang dipertingkat ini mampu memberikan saingan sengit kepada pesaing dalam segmen sama.

Ditambah pula, Accord baharu hadir bersama jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had bersama selang servis setiap 10,000km, tidak mustahil ia mampu memenuhi hasrat Honda Malaysia untuk menjadikan Accord kekal popular dalam segmen D.


Bahagian belakang.

Info:
Honda Accord 2.4 VTi-L

  • Enjin - 2.4 liter DOHC i-VTEC bersama teknologi Earth Dreams
  • Kuasa maksimum - 175 ps pada 6,200 rpm
  • Tork maksimum - 225 Nm pada 4,000 rpm
  • Paparan Audio Skrin Sentuh 7 inci bersama i-MID
  • Serasi dengan Apple CarPlay dan Android Auto
  • Telefon Bebas Tangan Dengan Pengecaman Suara
  • Panjang - 4,935 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,465 mm dan jarak roda 2,775 mm
  • Ciri keselamatan - enam beg udara, ABS, EBD, ESS, VSA, HSA, kamera pandang belakang pelbagai sudut dan ISO Fix.
  • Harga : Atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM172,800.
  • Jaminan : 5 tahun tanpa perbatuan terhad
46 dibaca
Berita Harian X