Rabu, 31 Mei 2017 | 12:45am

Sivarasa nafi beri ceramah di masjid

Ahli Parlimen Subang dan Peguam, R. Sivarasa. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa, menafikan beliau memberi ceramah politik di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, pada Rabu minggu lalu.

Katanya, kehadirannya di masjid itu disalahertikan sesetengah pihak kerana beliau hanya menyampaikan sumbangan RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.

"Saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

"Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai Ahli Parlimen Subang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasan saya.

"Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu oleh Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara," katanya kepada BH melalui aplikasi WhatsApp malam tadi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan Sivarasa itu.

Haris berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani.

Sivarasa berkata, sebelum beliau menyampaikan sumbangan bersama-sama dengan Penyelaras DUN Radzlan Jalaludin, beliau dijemput memberikan ucapan ringkas kepada kira-kira 70 wakil a surau dan masjid di kawasan itu yang akan menerima sumbangan Ramadan.

Katanya, sebelum beliau berucap, Radzlan juga memberikan ucapan.

"Saya juga hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam.

"Saya tidak hadir sebagai wakil Menteri Besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana saya tidak diminta untuk mewakili beliau. Itu sahaja yang berlaku.

"Saya yakin (perkara) ini sudah dijelaskan oleh semua pihak yang terbabit kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya.

Berita Harian X