Selasa, 30 Mei 2017 | 10:00pm

Ingkar titah Sultan, nazir boleh dipecat


Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Nazir Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang boleh dikenakan tindakan gantung jawatan atau dipecat, kerana membenarkan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa memberi ceramah dalam satu program minggu lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim, berkata tindakan nazir serta penganjur itu seolah-olah tidak menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang ruang masjid digunakan untuk aktiviti politik.

"Baginda Sultan murka dan meminta JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur. Tindakan jangka pendek yang boleh diambil adalah memecat nazir berkenaan.

"Kita meminta nazir berkenaan menghantar surat tunjuk sebab dalam minggu ini juga dan kita akan lihat tindakan bersesuaian yang boleh diambil sama ada tindakan amaran, gantung jawatan atau dipecat, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Sementa, Kapar di sini.

Beliau berkata, hasil laporan awal menyatakan nazir berkenaan tidak mengetahui mengenai kehadiran Sivarasa pada program penyerahan sumbangan moreh masjid berkenaan.

"Bagaimanapun, sebagai nazir masjid beliau sepatutnya menghalang tindakan ahli politik itu jika tiada dalam atur cara majlis berkenaan.

"Tindakan selanjutnya daripada JAIS adalah menghantar surat rasmi kepada semua ahli politik termasuk yang bukan Islam agar sentiasa ingat dan patuh pada titah baginda Sultan," katanya.

Berita Harian X