Selasa, 30 Mei 2017 | 9:02pm

Aksi dengan Thailand, Indonesia jadi ukuran - Kim Swee


KIM Swee (tengah) memantau anak buahnya ketika sesi latihan pada bulan Ramadan bagi memilih pemain untuk diserap ke Skuad Projek Sukan SEA 2017 di Wisma FAM malam ini. - Foto BERNAMA

KELANA JAYA: Pengendali skuad bawah 22 tahun (B22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan aksi Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 bakal menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan sebenar anak buahnya menjelang temasya Sukan SEA 2017, Ogos ini.

Kata bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu, kehadiran dua seteru Asia Tenggara iaitu Thailand dan Indonesia yang turut diundi bersama dalam Kumpulan H sedikit sebanyak menjadikan perlawanan itu sebagai 'Pra Sukan SEA' sekali gus bakal memberi cabaran lebih besar terhadap barisan pemain muda negara.

Malah, Kim Swee juga tidak rela 'mengorbankan' aksi benua itu sebagai alasan untuk memberi lebih tumpuan kepada temasya Sukan SEA memandangkan dua kejohanan itu penting meskipun ia dilangsungkan dalam tempoh yang dekat.

"Kita sudah pasti mahu mencipta kejayaan dalam setiap kejohanan yang kita sertai dan aksi kelayakan itu akan memberi kita gambaran terhadap kemampuan skuad ini dan juga kekuatan dua pasukan Asia Tenggara yang turut bersaing pada temasya Sukan SEA 2017 nanti.

"Apapun, kita akan fokus terlebih dulu pada aksi kelayakan dan cuba untuk mara sejauh mungkin. Prestasi yang memberangsangkan pada aksi kelayakan sudah pasti akan memberi motivasi yang terbaik buat pemain bagi mengharungi temasya Sukan SEA 2017 nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut perkembangan pasukan itu, Kim Swee mengakui sedikit perubahan akan diterapkan dan dia bersedia membuat rombakan membabitkan taktikal dan corak permainan pasukan itu.

"Mereka sudah terbiasa dengan formasi 4-4-2 dan 4-2-3-1, namun saya cuba membuat perubahan agar mereka dapat menunjukkan corak permainan yang lebih mantap.

"Jika mereka dapat mencapai persefahaman yang lebih baik dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang akan dibuat, berkemungkinan saya akan terapkan formasi baharu iaitu 3-4-3 atau 4-3-3 yang kini bermain dalam fikiran saya," katanya.

Berita Harian X