Isnin, 12 Januari 2015 | 7:34pm

Mangsa banjir di Perak, Pahang dan Johor menurun petang ini, Kelantan kekal

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Perak, Pahang dan Johor menurun petang ini manakala Kelantan kekal dengan 1,843 orang seperti yang direkodkan tengah hari tadi.

Perak mencatatkan penurunan kepada 2,255 orang petang ini berbanding 2,363 orang tengah hari tadi, manakala Pahang berkurangan daripada 1,995 orang tengah hari tadi kepada 445 orang petang ini sementara Johor turun kepada 26 orang berbanding 32 orang tengah hari tadi.

Dengan ini jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri yang masih terjejas menurun kepada 4,569 orang petang ini berbanding 6,233 orang tengah hari tadi.

Di KELANTAN, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan berkata jumlah mangsa yang direkodkan masih kekal seperti tengah hari tadi dengan jajahan Kuala Krai mempunyai 1,016 orang mangsa, Gua Musang (674 orang), Tanah Merah (93 orang) dan Machang (60 orang).

Di PERAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata kesemua mangsa ditempatkan di 12 pusat pemindahan dengan 1,788 orang ditempatkan di Perak Tengah, Hilir Perak (314 orang), Manjung (116 orang) dan Hulu Perak (37 orang).

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 311 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Temerloh, Pekan (120 orang) dan Bera (14 orang).

Di JOHOR, 26 mangsa masih berada di dua pusat pemindahan di Segamat. - BERNAMA

Berita Harian X