Selasa, 30 Mei 2017 | 1:13pm

Ezlynn fail permohonan cerai

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezlynn yang terkenal menerusi lagu berjudul Hi Hi Bye Bye, memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Permohonan cerai difailkan Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 36, mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamed Nor dalam sebutan kes itu hari ini, memerintahkan penyanyi itu bersama suaminya, Adam Fahmy Shamsuddin, menghadiri sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) berikutan Adam Fahmy tidak bersetuju untuk meneruskan perceraian secara baik itu.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 36, selaku plaintif melantik kakak kandungnya, manakala Adam Fahmy, 38, selaku defendan melantik adik kandungnya, masing-masing sebagai wakil JKP.

Ezlynn hadir bersama peguam syarie Izyan Hazwani Ahmad, manakala suaminya tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes bagi mendengar laporan JKP.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011.

PENYANYI yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin (kanan) memfailkan cerai terhadap suaminya, Adam Fahmy Shamsudin ketika di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
ADAM Fahmy Shamsudin. - Foto Syarafiq
Berita Harian X