Isnin, 29 Mei 2017 | 1:12pm

MAIK agih zakat RM59 juta

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengagihkan kutipan zakat kepada golongan asnaf lebih RM59 juta, sejak Januari lalu.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata jumlah peruntukan itu adalah daripada kutipan zakat pada tahun ini iaitu sebanyak RM57.62 juta serta lebihan zakat pada tahun lalu.

Beliau berkata agihan itu disalurkan kepada fakir dan miskin sebanyak RM39.8 juta diikuti amil (RM4.8 juta) dan asnaf mualaf (RM386,000).

"MAIK meminta semua pemimpin setempat termasuk imam mukim supaya mencari golongan miskin untuk diberi bantuan bulanan kerana kita perlu menghabiskan kutipan zakat tahun ini.

"Ada sesetengah keluarga memiliki pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan yang layak menerima bantuan zakat atas faktor memiliki ramai anak dan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

"Kategori keluarga miskin kini semakin meluas disebabkan faktor ekonomi semasa yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan zakat yang disampaikan Pengarah Kawasan Maybank Pahang, Kelantan dan Terengganu, Abd Razak Kamardin, yang bernilai RM967,898.16.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata, MAIK sedang menggerakkan imam masjid seluruh negeri untuk mencari golongan miskin yang enggan tampil ke hadapan mungkin disebabkan perasan malu untuk menerima bantuan zakat.

Dalam perkembangan lain, MAIK sudah menyelesaikan masalah kediaman penduduk mangsa banjir dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.1 juta untuk membina 189 kediaman kekal.

"Pembinaan itu membabitkan di tiga kawasan iaitu di Limau Kasturi sebanyak 41 unit, Simpang Pulai (38 unit) dan Tanah Puteh (50 unit) di Gua Musang manakala 60 unit lagi di  Kampung Telekong, Kuala Krai.

Berita Harian X