Isnin, 29 Mei 2017 | 12:49pm

Frost tolak khabar angin V Shem-Wee Kiong dipisahkan


MORTEN Frost Hansen. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Morten Frost Hansen menolak khabar angin kononnya gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong akan dipisahkan susulan persembahan buruk mereka pada Kejohanan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, minggu lalu.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata keputusan merombak mereka selain beregu Vivian Hoo dan Woo Khe Wei akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) dipengerusikan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, minggu ini.

"Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini tetapi akan kemuka laporan mengenai prestasi mereka pada mesyuarat C&T. Biar lihat apa yang akan berlaku nanti," katanya kepada BERNAMA melalui aplikasi Whatsapp hari ini.

Malaysia tersingkir pada saingan suku akhir Piala Sudirman selepas kalah 3-1 kepada Jepun dengan beregu V Shem-Wee Kiong tewas kepada gandingan tidak ternama, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda, pada tiga pertemuan iaitu dua di peringkat kumpulan dan di suku akhir pada kejohanan berpasukan campuran itu.

Beregu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, sedang bergelut dengan prestasi terumbang ambing musim ini selepas hanya mampu sampai ke peringkat suku akhir di tiga kejohanan super siri iaitu All-England, Terbuka India dan Singapura tahun ini. - BERNAMA.

Berita Harian X