Isnin, 29 Mei 2017 | 1:28am

Pelancong M'sia ubati kerinduan mangsa tsunami


BENCANA tsunami yang melanda Aceh pada Disember 2004. - Foto fail Reuters

BANDA ACEH: "Setiap kali melihat pelancong perempuan dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, terutama pelancong dari Malaysia, saya pasti memeluk mereka kerana terlalu rindukan lima anak yang terkorban dalam tragedi tsunami 13 tahun lalu."

Itulah luahan Mariana Yusof, 52, yang kehilangan tiga anak perempuan dan dua anak lelaki berusia antara 10 hingga 19 tahun dan suaminya, Daud Nganm dalam tsunami 2004.

Kerinduannya itu barangkali kerana gadis-gadis Malaysia mempunyai rupa seiras dengan gadis-gadis Aceh, apa lagi mereka sering bertudung seperti gadis di wilayah ini yang pernah di satu ketika dikenali sebagai serambi Makkah.

Mariana yang tinggal di Kampung Lampulo berkata sebelum tsunami, kampung itu mempunyai 6,000 penduduk namun selepas tragedi itu, hanya 1,500 orang yang terselamat termasuk dirinya.

Setiap detik bencana itu masih segar dalam ingatannya. Menceritakan semula detik hitam itu, Mariana berkata, dia berada di halaman rumah bersama anggota keluarga yang lain pada pagi hari kejadian.

"Secara tiba-tiba terdengar penduduk kampung menjerit menyuruh kami sekeluarga melarikan diri dan suasana ketika itu sangat dahsyat, ...saya ingatkan hari sudah kiamat, ..bunyi sangat bising, ...semua orang menjerit-jerit meminta tolong.

"Masing-masing memikirkan untuk menyelamatkan diri sendiri.

"Sedar-sedar saya sudah berada di tengah laut, ...di dalam timbunan sampah, ...macam-macam barang ada di tengah laut, kereta, sofa, motosikal, pokok-pokok, kayu, benda tajam dan mangsa tsunami lain yang masih dihanyutkan arus.

"Sampah sarap terlalu banyak dibawa air tsunami setinggi pokok kelapa dan arusnya sangat kuat. Walaupun orang itu pandai berenang, susah untuk selamat kerana laut ketika itu bagaikan tempat pembuangan sampah yang terlalu besar.

"Hanya kepada Allah saya berserah dan saya mengulang lafaz syahadah. Di fikiran hanya terbayang kematian," katanya yang terapung-apung di tengah laut selama tujuh jam sebelum diselamatkan bot nelayan.

Mariana berkata selepas tsunami, beliau dan penduduk kampung itu terpaksa tinggal di khemah biasa selama setahun sebelum rumah sumbangan masyarakat luar seluruh dunia berjaya disiapkan.

"Sampai sekarang saya tidak boleh terlalu banyak bercerita mengenai tsunami. Saya akan menangis apabila teringatkan keluarga yang lain. Saya hanya sebatang kara di dunia sekarang ini.

"Mujurlah, ramai pelancong yang faham tujuan saya bersalam dan memeluk mereka. Ia hanya untuk melepas kerinduan yang sudah tidak lagi dapat ditahan-tahan dalam hati dan perasaan saya selama ini," katanya.

Marianna ditemui pemberita ketika kunjungan peserta Kembara Dakwah Media Terengganu ke Kampung Lampulo untuk menyantuni mangsa tsunami dan mengeratkan silaturrahim antara penduduk Aceh dan Terengganu.

Kampung Lampulo yang terletak di tepi pantai kini menjadi kawasan pelancongan baharu di Aceh kerana terdapat sebuah bot nelayan yang terdampar di atas bumbung sebuah rumah penduduk di kampung itu. Bot itu menyimpan seribu kisah.

Pemerintah Aceh mewartakannya menjadi kawasan pelancongan yang menampilkan kesan peninggalan sejarah kemusnahan tsunami.

Seramai 59 mangsa tsunami terselamat dalam tragedi itu kerana berlindung di dalam bot nelayan tersebut termasuk seorang ibu, Bundiya Sahar, 67, dan empat anaknya.

Bundiya yang ketika itu sedang berniaga ikan di jeti nelayan berkata dia dan anak-anaknya berlari mencari tempat berlindung dan tiba di sebuah rumah orang kaya yang terletak di tempat agak tinggi.

"Tidak lama kemudian ada sebuah bot nelayan hanyut dibawa arus deras yang terlalu laju ke arah kami dan tersangkut di atas bumbung rumah tempat kami berlindung itu.

"Ada beberapa orang sudah berada di dalam bot tersebut dan merekalah yang menyelamatkan kami dengan menarik masuk ke dalam bot," katanya yang sering menceritakan pengalaman menakjubkan itu kepada pelancong.

Kedua-dua mereka turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjadi pelancong paling ramai ke Aceh sejak bencana tsunami berlaku dan banyak menyumbang bantuan kewangan dan tenaga untuk pembangunan semula Aceh. - BERNAMA

19 dibaca
Berita Harian X