Isnin, 12 Januari 2015 | 4:05pm

SPRM tubuh jawatankuasa khas pastikan pengurusan dana, tabung banjir telus dan bebas penyelewengan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan pengurusan semua dana dan tabung banjir dikendalikan dengan telus serta bebas daripada penyelewengan.

Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir itu turut dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Audit Negara dan akan mula beroperasi esok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata jawatankuasa berkenaan akan bernaung di bawah SPRM Kelantan dan diselaraskan di peringkat pusat diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.

"Jawatankuasa ini akan menjadi saluran kepada masyarakat untuk membuat aduan salah laku atau salah guna kuasa dalam pengurusan dana mangsa banjir, bukan saja dana kerajaan kepada MKN tetapi juga derma daripada NGO," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X