Sabtu, 27 Mei 2017 | 10:49am
Pengasas A Cut Above, Datin Winnie Loo untuk Tokoh Wanita BH Wanita. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

Winnie Loo pentingkan penjenamaan, imej diri


Pengasas A Cut Above, Datin Winnie Loo untuk Tokoh Wanita BH Wanita. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Lebih tiga dekad nama Datin Winnie Loo dikenali menerusi jenama A Cut Above tidak pernah kenal erti lelah apabila usahanya memperjuangkan kedudukan industri kecantikan dan dandanan rambut tempatan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Minat mendalam dan sumbangan pengasas salun rambut A Cut Above itu dalam industri kecantikan begitu besar apabila beliau menjadikan anak Malaysia pertama diberi pengiktirafan sebagai World Master of the Craft (Guru Seni Dunia) oleh kumpulan pengamal seni dan fesyen di New York, pada 1997.

Sungguhpun Winnie menempah nama menerusi empayar kecantikan rambut, tetapi beliau menekankan kejayaannya berpaksikan pada penjenamaan perniagaan selain penjagaan imej diamalkan sejak awal pembabitannya.

Winnie berkata, kepentingan penjenamaan terbukti apabila A Cut Above menerima pengiktirafan anugerah The Brand Laureate dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Katanya, bagi memperluaskan lagi perkhidmatannya, Winnie kini giat mengetengahkan agensi penjenamaan perniagaan dan imej diri menerusi Brand Yourself Agency sinonim dengan pencapaiannya.

Kepentingan jenama

Winnie berkata, Brand Yourself Agency diketengahkan dengan kerja sama rakannya, Pakar Penjenamaan Diri, Steve Wee sejak tiga tahun lalu dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjenamaan diri dalam perniagaan dikendalikan.

"Jenama adalah yang syarikat anda dan menunjukkan apa yang dijual. Ia adalah sama pentingnya dengan menamakan bayi.

"Semakin konsisten usaha penjenamaan dan produk diketengahkan, semakin bertambah nilai yang dibawa jenama itu.


Pengasas A Cut Above, Datin Winnie Loo bersama pembantunya, Siti Nuraina Jeoffery ketika taklimat ringkas mengenai pendandanan rambut untuk Tokoh Wanita BH Wanita. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

"Tambah nilai juga akan menarik lebih ramai pelanggan melaburkan wang mereka untuk jenama anda sungguhpun lebih mahal daripada produk sedia ada di pasaran," katanya.

Sehingga kini, pencapaian Winnie dalam industri kecantikan tidak berhenti di situ, pengiktirafan demi pengiktirafan diterima sehingga kini.

Penjenamaan penting

Bekas presiden Pertubuhan Pendandan Rambut Malaysia itu berkata, Brand Yourself Agency itu turut dikelolakan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda berkaliber dan berfikiran global.

Katanya, bersumberkan pengalaman dikutipnya sejak memulakan perniagaan berasaskan kecantikan rambut penampilan dan penjenamaan kukuh adalah kunci kejayaannya dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya percaya antara faktor mengukuhkan kedudukan perniagaan diketengahkan lebih 30 tahun lalu adalah kerana strategi penjenamaan diri kukuh dan kuat.

"Tanpa penjenamaan perniagaan dijalankan mungkin tidak dapat diteruskan lebih lagi dengan adanya persaingan semakin sengit saban tahun," katanya yang menjadi idola dalam industri dandanan rambut.

Gagal potensi ke luar negara

Winnie memberitahu, program itu kini sudah mempunyai lebih 100 peserta daripada pelbagai latar belakang perniagaan mahukan pembaharuan imej untuk membina jenama peribadi lebih kukuh.

Katanya, sedihnya di negara ini tidak banyak perniagaan tempatan berjaya membina jenama yang mengakibatkan kegagalan berkembang ke luar negara.


Pengasas A Cut Above, Datin Winnie Loo untuk Tokoh Wanita BH Wanita. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

"Ini kerana, ilmu penjenamaan tidak dikirakan penting oleh banyak perniagaan. Kebanyakan perniagaan hanya memikirkan untuk mendapat keuntungan pantas, dan tidak membina jenama untuk jangka panjang.

"Membina jenama memerlukan strategi dan proses yang lama. Satu kunci jenama adalah usahawan perlu komited di tahap awal pelancaran jenama," katanya.

Winnie berkata, tahun ini anugerah Brand Yourself People's Choice Award turut diketengahkan bagi menjemput pembabitan usahawan dari 10 negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, New Zealand, India, Korea Selatan, Jepun dan China.

"Berkonsepkan "Globalization of Entrepreneurship", anugerah itu bakal mengetengahkan 20 kategori mengiktiraf personaliti cemerlang dan pencapaian yang luar biasa dalam bidang kepakaran masing-masing.

"Anugerah ini juga membolehkan perkongsian idea baharu untuk melahirkan generasi usahawan produktif dan bertaraf global." katanya.

INFO: Datin Winnie Loo
Asal: Ipoh, Perak

Jawatan: Pengarah Eksekutif A Cut Above Salons and Academy, Ahli Perniagaan, pendandan rambut profesional dan penulis buku.
Pendidikan: Melanjutkan pelajaran ke Morris Masterclass, sekolah dandanan rambut Vidal Sassoon di London.

Pengiktirafan:

  • Penerima Anugerah The BrandLaureate Star Brand bagi A Cut Above (2015)

  • Dilantik sebagai Timbalan Presiden Pertubuhan Penjenamaan Malaysia (2015)

  • Bekas Presiden Pertubuhan Pendandan Rambut Malaysia (2015)

  • The Best Hairderssing Centre dari 2006 hingga 2008 oleh City and Guilds, London.
  • 30 dibaca
    Berita Harian X