Jumaat, 26 Mei 2017 | 12:03pm

PNB serah zakat perniagaan RM17.2j


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menerima replika cek zakat yang disampaikan Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PNB di Putrajaya, hari ini. - Foto Abd Rahim Rahmat

PUTRAJAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini, menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2013 hingga 2016 berjumlah RM17.2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Cek zakat itu disampaikan Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Abdul Wahid berkata, zakat yang diserahkan itu bertujuan untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"PNB berbesar hati dapat memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan menerusi zakat ini, " katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PNB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, setiap zakat yang diterima PPZ-MAIWP diagihkan kepada 22,000 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam bentuk bantuan bulanan.

"Ini tidak termasuk 28 skim pembayaran kepada mereka yang terpilih seperti skim pendidikan, biasiswa dan pakaian sekolah, " katanya.

Berita Harian X