Rabu, 24 Mei 2017 | 10:28pm

Proton perkenal Iriz dipertingkat


PRATONTON model baru Proton Iriz yang di ubah suai dan di tambah baik beberapa bahagian kepada pihak media. - Foto Mohd Yusni Ariffin

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd memperkenalkan model Proton Iriz yang ditambah baik, dengan menampilkan lebih banyak fungsi baharu. 

Model itu diperkenal pada majlis bersama media dan pandu uji di Pusat Kecemerlangan PROTON di sini, hari ini.

Iriz baharu ditawarkan dengan empat varian iaitu 1.3 Standard MT; 1.3 Standard CVT; 1.3 Executive CVT; dan 1.6 Premium CVT. 

Bagi varian 1.6 Premium CVT, Iriz ditambah baik ini ditawarkan dengan warna luaran dwi tona dengan bumbung, cermin sisi, gril depan dan spoiler berwarna gelap. 

Bahagian dalaman pula dilengkapi tempat duduk dengan kombinasi kulit dan fabrik serta jahitan benang merah, sistem audio dengan SmartLink, warna ruang kabin yang ditambah baik dan butang penghidup enjin. 

Selain itu, varian 1.3 Executive CVT menawarkan butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya didapati untuk varian 1.6 Premium CVT, lampu depan kabus dan kemasukan tanpa kunci. 

Bagi semua varian 1.3 liter, tempat duduk ditawarkan dengan fabrik baharu dan jahitan benang hitam.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa, berkata harga baharu Iriz dijangka diumumkan pada 1 Jun. 

"Model yang ditambah baik ini akan berada di pasaran mulai 1 Jun ini di semua bilik pameran PROTON di seluruh negara," katanya. 

Rashid berkata, Iriz ditambah baik itu akan menggantikan model sebelum ini. 

"Versi lama akan dihentikan pengeluaran," katanya.

INFO

Proton Iriz

* 4 varian

* Mula diperkenalkan pada 24 September 2014

137 dibaca
Berita Harian X