Rabu, 24 Mei 2017 | 6:57pm

Vingada nafi ada hubungan dengan bookie


NELO Vingada (kanan) ketika sidang media Pengenalan Jurulatih Baharu Harimau Malaya hari ini. Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Belum pun memulakan tugas sebagai pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada sudah terpalit dengan isu kurang enak dalam kerjayanya sebagai jurulatih.

Vingada atau digelar 'The Professor' yang baharu saja tiba di ibu negara, kelmarin berdepan isu serius apabila namanya dikaitkan dengan sindiket mengatur perlawanan (bookie).

Keadaan itu tampak memberi tekanan awal kepada Vingada yang diletakkan harapan tinggi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memulihkan reputasi Harimau Malaya yang sedang merudum.

Namun, jurulatih berusia 64 tahun itu yang mengadakan sidang media pertamanya sebagai jurulatih Harimau Malaya, hari ini menafikan sekeras-kerasnya beliau terbabit dalam sindiket mengatur perlawanan dengan kelab Liga Portugal, Atletico CP.

"Saya ingin jelaskan yang saya tiada kaitan dengan Eric Mao (ejen) dan perkara itu tidak perlu diragui.

"Anda boleh baca di mana saja mengenai saya tetapi apa yang pasti, saya amat berbangga dalam apa yang saya lakukan, bukan saja sebagai jurulatih, memimpin keluarga dan juga kehidupan peribadi," katanya.

Sidang media sempena memperkenalkan Vingada itu turut dihadiri Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan penolong jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Menerusi laporan media antarabangsa, Asia Times pada 11 Mei lalu, bookie yang paling dikehendaki Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Mao mendedahkan Vingada pernah berurusan secara langsung dengan sindiket itu.

Sementara itu, Tunku Ismail dilihat enggan melayan isu terbabit, sebaliknya lebih fokus untuk memikirkan perancangan memulihkan Harimau Malaya.

"Saya tidak fikir itu (satu) isu, kami hanya mahu lakukan yang terbaik untuk skuad kebangsaan.

"Ia (dakwaan) bukan tumpuan saya, kerana fokus kami untuk melakukan perubahan dan mencapai kejayaan jangka panjang (untuk skuad kebangsaan)," katanya.

Berita Harian X