Rabu, 24 Mei 2017 | 1:16pm

BR1M bantu tingkat taraf hidup rakyat

KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysa (BR1M), penyediaan lebih banyak rumah berkualiti dan mampu milik, bantuan khas pendidikan, kemudahan kesihatan serta mengukuhkan kedai berorientasikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada tahun lalu sejumlah RM5.36 bilion BR1M diagihkan kepada 7.28 juta isi rumah khusus yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Pemberian BR1M antara RM400 hingga RM1,050 kepada 7.28 juta isi rumah ini bertujuan membantu mereka membeli barangan keperluan asas.

Kerajaan turut melancarkan Program MyDeposit pada April tahun lalu untuk membantu pembeli rumah kali pertama di samping memberi keutamaan kepada golongan miskin bandar dan mereka berpendapatan kurang RM2,500 sebulan memiliki rumah atau rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Tingkat kemudahan asas

PPR tertumpu kepada usaha menempatkan semula setinggan yang mana penghuninya dapat menikmati kemudahan asas seperti dewan komuniti, surau, ruang niaga, tadika, kemudahan orang kelainan upaya (OKU) dan taman permainan.

Bantuan kewangan bersasaran secara langsung melalui program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) yang menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan rendah turut menjadi keutamaan kerajaan menerusi NTP.

Mulai tahun lalu, skop pengagihan BKAP1M tertumpu kepada pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima daripada golongan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

BB1M digantikan dengan Kad Debit Pelajar yang mempunyai nilai RM250 mulai tahun ini yang boleh digunakan untuk membeli buku, alat tulis, aksesori komputer dan akses internet.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menumpukan langkah untuk membolehkan rakyat memberi barangan keperluan asas pada harga 15 peratus lebih rendah menerusi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Daripada 185 KR1M yang ada pada 2015, enam kedai sudah ditutup iaitu dua di Melaka dan satu di Kedah, Perak, Pahang serta Sarawak.

RM10 juta peruntukan KR1M

Sebanyak RM10 juta diperuntukkan kerajaan untuk program KR1M pada tahun ini yang digunakan untuk membina 25 kedai itu dan sebanyak 50 kedai lagi dirancang dibina pada 2018 dan 2019, sejajar dengan hasrat kerajaan agar terdapat satu KR1M di setiap kawasan Parlimen.

Kerajaan turut melancarkan Kafe Rakyat 1Malaysia (KFR1M) dan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) dengan menjalin kerjasama dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan memerlukan.

KK1M pula inisiatif dijalankan sepenuhnya sektor swasta yang bermatlamat menawarkan kain berkualiti setanding dengan harganya kepada kumpulan B40.

Sementara itu, 20 daripada 30 Klinik 1Malaysia (K1M) baharu beroperasi tahun lalu, sekali gus meningkatkan akses kepada rakyat untuk mendapat rawatan kesihatan.

115 dibaca
Berita Harian X