Ahad, 11 Januari 2015 | 10:56pm

4 pendaki Gunung Angsi sesat ditemui

EMPAT pendaki yang sesat ketika menuruni Gunung Angsi di sini, berjaya dijumpai jam 9 malam tadi. - Foto Hazreen Mohamad

KUALA PILAH: Empat pendaki yang sesat ketika menuruni Gunung Angsi di sini, berjaya dijumpai jam 9 malam tadi.

Warga Singapura berusia 19 hingga 27 tahun itu ditemui berhampiran sebuah asrama kilang elektronik di Senawang, Seremban iaitu 25 kilometer dari laluan di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Muktar, berkata kumpulan itu bersama 35 pendaki lain termasuk rakyat negara ini, mula mendaki pada jam 8 pagi.

Katanya, pada jam 11.45 pagi, mereka mula menuruni gunung dan empat daripadanya dipercayai tersasar dari laluan turun yang dilalui ahli lain iaitu di Gunung Putus.

"Selepas menyedari tersesat, mereka kemudian menghubungi talian kecemasan 999 memaklumkan keadaan.

"Sebaik menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.30 petang, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Senawang ke kawasan gunung itu," katanya di sini.

Ahmad Mukhlis berkata, walaupun mereka terus bergerak, pasukan mencari dan menyelamat yang turut disertai anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia berjaya menemui pendaki itu hasil maklumat yang dimaklumkan menerusi telefon bimbit pendaki.

Katanya, semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tanpa kecederaan.

Sementara itu, salah seorang pendaki, Valen Tan Tau Kuan,19, berkata dia tiba di Gunung Angsi bersama 15 lagi rakan dari Singapura pada jam 6 pagi tadi.

Katanya, perjalanan mendaki gunung tiada masalah tetapi mereka berdepan kesukaran ketika menuruni gunung kerana hujan.

"Masalah pokok tumbang juga menyukarkan kami melihat tanda arah, menyebabkan kami tersasar jauh dari laluan yang dilalui rakan lain," katanya.

Berita Harian X